BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Jika adik berhutang (adik masih hidup) dengan orang lain, adakah menjadi tanggungjawab kakak untuk membayar hutang tersebut jika si pemberi hutang datang menuntut?

Si pemberi hutang cuba untuk menghubungi adik namun tidak berjaya. Saya sendiri juga cuba menghubunginya namun tidak berbalas.

Adakah tanggungjawab membayar hutang itu akan jatuh kepada ahli keluarga sedangkan penghutang masih hidup?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 282

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

Hukum membayar hutang adalah wajib. Rriwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa sabda Rasulullah SAW:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya. (Riwayat al-Tirmizi)

Sengaja melewat-lewatkan bayaran semula hutang bagi yang berkemampuan adalah suatu kezaliman sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: Penangguhan pembayaran semula hutang oleh orang yang mampu membayarnya, adalah satu kezaliman. (Riwayat al-Bukhari)

Manakala orang yang sengaja tidak mahu membayar hutangnya dianggap sebagai pencuri di sisi Allah SWT. Daripada Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ تَدَيَّنَ دَيْنًا، وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لَا يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ، لَقِيَ اللَّهَ سَارِقًا

Maksudnya: Siapa saja yang berhutang, dan dia bertekad (atau berniat) untuk tidak mahu membayar semula hutangnya, maka dia akan bertemu Allah (di akhirat nanti) sebagai seorang pencuri. (Riwayat Ahmad)

Islam sangat memandang berat dalam pengurusan hutang khususnya yang meminjam supaya dilangsaikan dengan sebaiknya. Bagi persoalan yang dinyatakan, selagi mana adik masih hidup, kewajipan membayar hutang adalah di bawah tanggungjawab adik dan waris tidak diwajibkan membayarnya. Bahkan sekiranya adik meninggal dunia sekalipun waris tidak diwajibkan membayar hutang itu.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-An’am: Ayat 164:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ

Maksudnya: Dan orang yang dapat menanggung, tidak akan menanggung dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usaha sahaja).

Namun, sekiranya waris menolong membayar hutang yang tertinggal, maka perbuatan itu termasuk dalam bab kebaikan (ihsan) kepada adik dan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 190

message user image