Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaimualaikum..
Maaf menggangu.. persoalan saya disini ..
Saya membela kucing..dan jenis kucing saya ni terlalu manja..tanpa mengira sesiapa saja dia tetap mendekatkan diri untuk bermanja..walaupun anjing.. apakah hukum nya nak pastikan kesucian kucing tu disebabkan anjing jilat kucing saya sebab menunjukkan bukti sayang mereka sesama sendiri ye? Adakah kotor dan menjadi najis mughalazah? Ataupun kucing itu masih dianggap suci disebabkan kucing mampu membersihkan diri sendiri? Mohon pencerahan sekiranya tidak keberatan..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, kucing adalah haiwan suci dan tidak menajiskan kecuali setelah didapati padanya najis ain yang jelas seperti tahi atau sebagainya. Jika tiada sebarang tanda meyakinkan bahawa ia membawa najis, maka hukum mendekati kucing berkenaan adalah suci dan tidak menajiskan.
Namun, perkara ini menjadi sedikit rumit apabila haiwan yang suci bergaul dan bermain dengan haiwan najis seperti anjing dan ianya perlu dipastikan dalam keadaan seperti berikut:
Jika nampak ada ain najis mughalazah pada kucing, maka wajib disertu pada bahagian yang terkena najis. Begitu juga jika melihat sendiri kucing tersebut dijilat oleh seekor anjing, maka tempat jilatan anjing tadi perlu disertu.
Namun sekiranya tidak melihat mana-mana anjing menjilat kucing tersebut walaupun mereka ada berdekatan, atau tidak diketahui di bahagian mana kucing itu dijilat, maka tidak perlu disertu.
Sekian, terima kasih.