BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz..

Saya nak tanya berkenaan hukum membela ular (tidak berbisa atau lebih dikenali sebagai 'Corn Snake') sebagai haiwan peliharaan.

Saya ada membela bebarapa ekor ular 'Corn Snake' sebagai haiwan peliharaan. Sebelum ini, saya tidak pernah membuat sebarang research berkenaan perkara ini menurut pandangan Islam.
Hari ini (10 Julai 2023), saya tergerak untuk membuat research berkenaan hukum membela ular (tidak berbisa) menurut pandangan Islam dan hasil research membuatkan saya kejutan dan menimbulkan beberapa kekeliruan.

Ada ustaz @ ulamak mengatakan ianya HARAM (termasuk dalam kategori 5 haiwan yang HARAM dibela).

Ada juga pandangan mengatakan ianya dibolehkan kerana tidak berbisa dan tidak menggigit.

Saya jadi keliru...

Dan, apa yang patut saya lakukan?

Adakah patut saya jualkan kesemuanya? Jika saya jualkan kesemuanya, adakah duit hasil jualan ular-ular berkenaan dikira sebagai 'halal' @ 'bersih'?

Hal ini kerana saya juga telah membeli ular-ular berkenaan di kedai-kedai haiwan peliharaan eksotik. Bolehkah saya jual ular-ular berkenaan dengan harga sama ketika saya membelinya?

Atau patut saya bunuh ular-ular berkenaan? Saya tidak merasakan bahawa dengan lepaskannya ke habitat liar merupakan pilihan yang baik kerana ular-ular ini bukanlah ular-ular yang sejak awalnya ditangkap liar. Ular-ular ini adalah sejak awalnya adalah ular yang dibiakkan secara komersial untuk tujuan pasaran haiwan-haiwan peliharaan eksotik. Saya risau sekiranya dilepaskan ke habitat semulajadi, ular-ular ini tidak dapat survive dan akan mati.

Mohon bantu saya ustaz.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berhubung soalan yang diajukan, terdapat sebuah hadis daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya: Lima binatang fawasiq (yang merosakkan) yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada hadis di atas, Jumhur Fuqaha’ termasuk mazhab Syafi’i berpandangan bahawa menjual ular secara umumnya adalah haram. Ini membawa maksud bahawa memelihara ular untuk apa jua tujuan seperti menjadikannya sebagai binatang peliharaan atau pet adalah diharamkan.

Walau bagaimanapun, terdapat satu pandangan di dalam mazhab Hanafi yang mengharuskan penjualan ular sekiranya ia boleh dimanfaatkan seperti untuk tujuan perubatan atau kulitnya (Rujuk Raddu al-Muhtar ‘Ala al-Dduri al-Mukhtar).

Begitu juga terdapat satu pandangan di dalam mazhab Maliki yang mengatakan bahawa ular halal dimakan sekiranya dapat dipastikan tidak berbisa atau tidak membahayakan kesihatan dengan syarat ia hendaklah disembelih. (Rujuk Lawami’ al-Durar fi hatki Astari al-Mukhtasar).

Dr. Ahmad Mamduh, Setiausaha Darul al-Ifta’ Mesir pula berpendapat bahawa memelihara ular di rumah adalah tidak diharamkan dengan syarat-syarat tertentu. (https://www.elbalad.news/4923324.)

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpandangan bahawa memelihara ular tidak berbisa yang dikenali sebagai Snake Corn adalah makruh berdasarkan keumuman hadis yang menyuruh untuk membunuh ular tanpa membezakan antara yang berbisa dengan yang tidak berbisa. Di samping itu, suruhan membunuh binatang-binatang tersebut turut dikaitkan dengan sifatnya yang merosakkan yang mungkin tidak ketara pada Snake corn. Walaupun begitu manfaat daripada ular tersebut adalah tidak jelas. Bahkan kos pembelian serta pemeliharaannya yang mahal. Tambahan pula terdapat alternatif atau gantian binatang pemeliharaan lain yang jelas keharusannya. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya perbuatan tersebut ditinggalkan.

Tindakan menjual semula ulat-ular tersebut kepada kedai haiwan adalah diharuskan dan hasil daripada jualan itu adalah halal.

Sekiranya pihak tuan ingin melepaskan ular-ular tersebut, sebaiknya menghadiahkannya kepada pihak zoo atau taman pemeliharaan haiwan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 1210

message user image