BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Saya ada soalan berkaitan hukum untuk menukarkan sifat susu badan ibu, dari sifat cecair kepada serbuk.

Situasi adalah seperti berikut: setelah susu dijadikan serbuk seperti susu formula di pasaran, susu tersebut akan dibancuh dan diberi minum hanya kepada anak kepada ibu tersebut atau anak susuan sahaja.

Proses ini bertujuan untuk memanjangkan usia susu ibu, memudahkan proses pengendalian susu, untuk mengelakkan pembaziran susu dan masalah ruang penyimpanan susu dalam peti sejuk beku yang terhad. Apakah hukum untuk melakukan proses tersebut? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Dikemukakan terlebih dahulu dalil berkenaan penyusuan susu ibu kepada anak iaitu berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 233:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

Berdasarkan dalil di atas, Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini adalah berdosa. Ini menunjukkan betapa pentingnya penyusuan susu ibu kepada anak-anak.

Sehubungan itu, merujuk kepada persoalan yang diajukan, hasrat untuk memanjangkan usia susu ibu tersebut dan mengelakkan pembaziran adalah baik. Namun, tindakan untuk menukarkan sifat susu daripada cecair kepada serbuk sekiranya menggunakan mesin (kegunaan peribadi) dibenarkan dengan syarat hanya untuk kegunaan ibu sahaja. Setakat ini, ia tidak dibenarkan untuk tujuan bisnes atau digunasama dengan mana-mana pihak bagi mengelakkan daripada berlakunya percampuran susu yang akhirnya akan mengakibatkan kesan yang sangat besar seperti berlakunya percampuran nasab dan akhirnya berkemungkinan menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengenal pasti siapa saudara sesusuannya dan boleh juga terjadi perkahwinan sesama saudara susuan yang mana jelas pengharamannya di dalam Islam. 

Untuk makluman, menjaga nasab (keturunan) merupakan salah satu daripada lima perkara Maqasid Syariah yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang meragukan dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 89

message user image