Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
As-salamu alaykum wbt,
Saya ingin bertanya apakah hukum lelaki memakai cincin perak yang terdapat saduran warna emas yang dijual untuk alumni UiTM?
https://cgu.uitm.edu.my/produk/mahkota/
saya sertakan pautan rujukan tuan.
Terima kasih.
Jawapan
Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Hukum memakai perhiasan yang berasaskan emas sama ada emas secara keseluruhannya atau perhiasan bersadur emas atau emas campuran atau emas putih ialah diharamkan bagi lelaki secara mutlak. Hal ini adalah kerana mengambil hukum secara umum berdasarkan hadis yang jelas menyatakan pengharamannya sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) daripada memakai cincin emas. (Riwayat al-Bukhari)
Bahkan perihal cincin yang disadur emas ini turut dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, katanya:
Maksudnya: Sekiranya cincin itu diperbuat dari perak dan dicampur, disadur (menggunakan api) dengan emas atau pedang yang disadur ataupun selainnya dari alatan perang dengan emas, sekiranya dileburkan kembali di atas api lalu masih dapat dikesan emasnya maka hukumnya haram secara sepakat. Sekiranya tidak dapat dikesan lagi emas tersebut maka ada dua jalan (yang paling sahih di antara keduanya) dan dengannya diputuskan oleh ulama’ al-Iraq adalah haram berdasarkan hadis.
Namun begitu, seandainya saduran emas itu hanya semata-mata warna dan bukan emas tulen maka ia dibenarkan.
Justeru, perhiasan emas hanya layak digunakan oleh para wanita dengan syarat tidak berlebihan dan melampau kerana boleh mengundang kepada sifat riyak dan cinta kepada harta. Malah hikmah diharamkan perhiasan emas kepada lelaki juga adalah untuk membezakan perihal yang layak dimiliki oleh lelaki dan wanita.