Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya mengamalkan bacaan doa selepas tahiyat akhir, sebelum salam ddalam solat fardu. Sekiranya saya berjamaah mengikut imam, dan imam memberi salam sebelum saya habis membaca doa, apa patut saya buat? Teruskan baca doa dan memberi salam sendirian, atau saya perlu mengikut imam utk beri salam tanpa habis berdoa. Terima kasih
Jawapan
Seorang makmum wajib mengikut semua perbuatan imam berdasarkan hadis riwayat Aisyah RA, sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Dijadikan imam adalah untuk diikuti. Jika dia rukuk maka hendaklah kalian rukuk, jika dia i`tidal maka hendaklah kalian i`tidal. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perbuatan membaca doa selepas tahiyat akhir walaupun imam tidak melakukannya adalah dibenarkan dan tidak dianggap menyalahi perbuatan imam. Oleh itu, dibenarkan untuk menghabiskan bacaan doa tersebut dan memberi salam sendirian. Namun, hendaklah dipastikan agar tidak ketinggalan terlalu lama dengan imam bagi mengelakkan berlakunya salah faham oleh makmum yang lain.