Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM TUAN,
SAYA INGIN BERTANYA TENTANG SOLAT SUNAT AIDIL ADHA IAITU ADAKAH DISUNATKAN TAKBIR SELEPAS SOLAT SUNAT AIDIL ADHA ATAU TIDAK PERLU TAKBIR DAN TERUS KHATIB NAIK ATAS MIMBAR UNTUK BERKHUTBAH KERANA MENJAGA MUALAT. TERIMA KASIH.
Jawapan
Takbir sempena hari raya Idul Adha terbahagi kepada dua iaitu Takbir Muqayyad dan Takbir Mursal.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, adalah disunatkan untuk melaksanakan takbir raya selepas solat sunat Eidul Adha kerana ia termasuk dalam kategori Takbir Muqayyad dan syarat mualat (berturut-turut) di antara solat dan khutbah, hanya disyaratkan pada solat dan khutbah Jumaat sahaja dan tidak disyaratkan mualat pada khutbah Hari Raya.
Dinyatakan dalam kitab al-Taqrirat As-Sadidah karangan Sheikh Hassan bin Ahmad al-Kaf, maksudnya "Disunatkan - apabila solat hari raya secara berjemaah - untuk menyampaikan khutbah selepasnya seperti khutbah Jumaat pada rukun-rukun dan sunat-sunatnya dan tidak pada syarat-syaratnya seperti berdiri, menutup aurat, berada dalam keadaan suci dan duduk di antara dua khutbah, dan jika solat sendirian maka tiada khutbah".
Oleh yang demikian, khutbah Hari Raya wajib mengikut khutbah Jumaat pada perkara rukun dan disunatkan pada perkara sunat khutbah. Adapun syarat khutbah Jumaat tidak diwajibkan dalam khutbah Hari Raya. Syarat khutbah Jumaat ada 12 perkara termasuk mualat di antara solat dan khutbah.