Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Saya ada satu soalaan untuk di kemukakan. Menurut fahaman saya, Jikalau seseorang sedang berpuasa sunat dan di ajak makan bersama dengan tuan rumah kawannya atau lain-2 perlu di buka puasa-nya. adakah jikalau saya sedang berpuasa dan di ajak oleh ibu ayah saya wajib membuka puasa? Apakah hukum-nya, terima kasih alhamdulilah.
Jawapan
Seseorang yang sedang berpuasa sunat tidak perlu membuka puasanya apabila diajak oleh tuan rumah untuk makan kecuali jika menolak akan menyebabkan tuan rumah berkecil hati atau tersinggung, maka lebih utama berbuka. Adapun jika ibu atau ayah menjemput untuk makan bersama, puasa sunat tersebut wajib dibuka kerana memenuhi hajat ibu bapa dan mengembirakan mereka merupakan satu tuntutan bagi seorang anak.
Dalam situasi sebegini, terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW menyampaikan kisah berkenaan Juraij:
Maksudnya: Juraij adalah seorang yang sangat kuat beribadat di satu ruang khusus untuk ibadat, dan suatu hari ibunya datang ketika dia sedang solat. Humaid (perawi hadith ini) berkata Abu Rafi’ menggayakan gaya ibu Juraij tersebut seperti yang ditunjukkan oleh Abu Hurairah yang digayakan oleh Rasullah SAW sendiri, di mana ibu Juraij ketika memanggil anaknya dengan meletakkan tapak tangan pada keningnya dan mengangkat kepalanya seraya memanggil: “Wahai Juraij, ini ibumu, bercakaplah denganku.”
Ibunya mendapati Juraij sedang solat, dan Juraij berkata dalam hati: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang solat”. Dia memilih untuk terus solat, lalu ibunya pulang dan datang pada kali kedua dan berkata: “Wahai Juraij, ini ibumu, bercakaplah denganku.” Juraij berkata dalam hati: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang solat”. Dia memilih untuk terus solat.
Ibunya berkata: Ya Allah, Juraij anakku ini, aku berhajat ingin bercakap dengannya tapi dia enggan. Ya Allah, jangan Kamu matikannya hinggalah dia berjumpa (digoda oleh) pelacur; jika sekiaranya ibunya mendoakan balasan buruk ke atas Juraij, nescaya dia akan ditimpa balasan buruk tersebut..
(Riwayat Muslim)
Nabi Muhammad SAW tidak mengingkari doa ibu tersebut dan memperakuinya. Ia menggambarkan betapa penting menjaga perasaan ibu dan ayah berbanding mengerjakan ibadat sunat.