BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya telah biasa mengerjakan solat sunat subuh sebelum melaksanakan solat fardhu. Suatu hari, saya dan keluarga semuanya telah terlajak tidur dan saya bangun hanya selepas waktu subuh tamat, sekitar jam 7.30 pagi. Saya teringat saya pernah mencapai telefon bimbit bagi memadamkan alarm (alarm berbunyi 10min sebelum subuh), tapi tak sedar saya tidur semula sehingga terlepas waktu subuh. Saya pun bergegas untuk menunaikan solat. Soalan saya;

1) Bolehkah saya mengerjakan solat sunat subuh terlebih dahulu walaupun telah terlepas masanya, dan perlukah niat qada'?

2) Perlukah saya niat qada' subuh, ataupun tunai kerana tidak sengaja bangun lambat?

3) Memandangkan anak dan isteri saya juga tidak sedar, perlukah saya kejutkan mereka sebelum mula solat, ataupun biarkan mereka bangun sendiri kerana waktu subuh telah pun berlalu?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ia berkisar tentang solat di luar waktu sebenar atau dinamakan qada' solat.

  1. Solat fardhu Subuh wajib dilaksanakan terlebih dahulu dengan niat qada' kerana ia merupakan kewajipan yang perlu diutamakan dalam keadaan tersebut. Adapun solat sunat Subuh, ia sunat diqada' selepas selesai qada' solat fardhu Subuh.
  2. Sebaiknya diniatkan solat qada' bagi solat fardhu Subuh tersebut kerana telah keluar daripada waktu sebenar walaupun ia dilakukan secara tidak sengaja. Sekiranya diniatkan solat secara tunai sekalipun, ia tetap menjadi qada'. Meninggalkan solat secara tidak sengaja tidak menjadikan seseorang itu berdosa berbanding sekiranya ia dilakukan secara sengaja.
  3. Perlu mengejutkan mereka yang lain untuk bangun solat fardhu Subuh walaupun telah berlalu waktunya kerana menunaikan kewajipan perlu diutamakan selagi tiada halangan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 250

message user image