BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz..mohon pencerahan berkaitan sumpah laknat. Kawan saya seorang lelaki telah berkahwin dan dalam masa yang sama mempunyai seorang teman wanita. Mereka berdua telah terlanjur dan hubungan mereka telah diketahui oleh si isteri. Lelaki tersebut sememangnya berniat untuk jadikan teman wanita tersebut sebagai isteri kedua tetapi mendapat tentangan oleh isteri. Isterinya telah membuat ugutan cerai dan memaksa membuat sumpah laknat (memegang Al-Quran) dengan mengatakan tidak akan bersama (bersetubuh) dengan teman wanita tersebut. Sekiranya ia melakukan juga ia akan mati disambar petir. 

Ustaz..lelaki tersebut tetap ingin bernikah dengan teman wanitanya dan ingin bertanggungjawab atas keterlanjuran mereka. Bolehkah dia membatalkan sumpah laknat tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Suatu sumpah dianggap sah sekiranya menggunakan nama Allah SWT atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Begitu juga sah suatu sumpah itu dengan menggunakan al-Quran, seperti berkata: "Aku bersumpah dengan al-Quran tidak akan melakukan perbuatan itu". Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni menyatakan bahawa sesungguhnya bersumpah dengan Al-Quran adalah sumpah yang sah, dan wajib membayar kaffarah jika dilanggar. Adapun bersumpah dengan memegang al-Quran adalah untuk mengukuhkan atau menguatkan lagi kesungguhan untuk bersumpah dan ia bukan merupakan syarat sah sumpah.

Sumpah tidak boleh ditarik balik dan sekiranya sumpah itu dilanggar maka wajib baginya membayar kaffarah, iaitu dengan memilih salah satu dari 3 perkara di bawah:

  1. Memberi makan 10 orang miskin, setiap orang miskin 1 cupak makanan asasi. Iaitu memberi makan bermaksud memberi milik kepadanya dan tidak memadai dengan mengundang mereka menikamati jamuan makan dan seumpamanya. Sebagai alternatif, bayaran boleh dibuat secara online kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
  2. Memberikan pakaian yang biasa dipakai kepada 10 orang miskin. Pakaian iaitu sesuatu yang selayaknya dipanggil pakaian. Sepakat fuqaha menyatakan tidak sah jika hanya kasut, songkok, stokin kerana dengan yang demikian tidak dikatakan sebagai berpakaian melainkan perlu berbaju.
  3. Memerdekakan seorang hamba beriman, lelaki atau perempuan

Jika tidak mampu mana-mana di atas, wajib berpuasa salama 3 hari tanpa disyaratkan berturut-turut.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya syarat sah sumpah dipenuhi dan suami tersebut berkahwin dengan perempuan itu, maka dia wajib membayar kaffarah. Namun, dia tetap perlu bertaubat atas dosa zina yang dilakukan kerana ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar.

Untuk mengetahui lebih lanjut kaffarah melanggar sumpah dan cara pembayarannya sila rujuk kepada laman rasmi berikut: https://efaraid.mais.gov.my/kaffarah/ 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 1098

message user image