Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, saya ingin bertanyakan mengenai cara solat yang betul. Saya selalu mendengar kita kena khusyu' dalam solat namun sampai ke masa sudah saya masih tertanya-tanya apakah khusyu' itu sebenarnya. Saya ada membaca buku berkenaaan kisah para sahabat dan ada di sana diceritakan bila khusyu' walau kaki dipotong mereka tidak akan terasa apa-apa. Kisah ini juga membuatkan saya berasa musykil adakah cara solat saya ini betul atau ada bahagian lain yang saya perlu perhatikan untuk mendapatkan kekhusyu'kan solat. Saya teliti kembali rukun solat dan ketiga belas rukunnya jelas. Selepas berfikir seketika, adakah untuk mendapatkan kekhusyu'kan itu, teknik pernafasan yang tertentu perlu ketika solat? Saya pernah mendengar salah mencuri nafas ketika mengaji. Jadi, adakah ketika solat kita juga harus menggunakan teknik pernafasan tertentu untuk elakkan mencuri nafas sewaktu membaca ayat-ayat quran?
Jawapan
Khusyuk di dalam solat bermaksud perihal keadaan hati yang memberikan sepenuh tumpuan terhadap hubungannya dengan Allah SWT, dengan menghadirkan fikiran dan menghayati setiap perbuatan serta bacaan yang dibaca, perasaan tunduk dan tawadhuk merasa rendah diri sebagai makhluk di hadapan Allah SWT Tuhan sekalian alam Sang Pencipta, hormat, kasih dan rindu berbicara bertemu dengan Sang Pencipta, syukur atas segala nikmat-Nya dipilih dari kalangan mereka yang beriman, rukuk serta sujud kepada-Nya, merasai keagungan serta kebesaran Allah SWT sepanjang mendirikan solat.
Khusyuk juga merupakan tuntutan yang seharusnya diusahakan oleh setiap Muslim kerana intipati solat adalah menghadap Allah SWT dengan hati. Terdapat pelbagai kaedah untuk mendapatkan khusyuk dalam solat, antaranya ialah melalui kaedah hafal dan faham makna bacaan dalam solat, solat dalam keadaan tenang, melapangkan fikiran atau mengamalkan teknik pernafasan tertentu. Apa-apa kaedah yang boleh mendatangkan khusyuk, boleh diusahakan.
Adapun menggunakan teknik pernafasan tertentu dengan tujuan untuk mendapatkan rasa khusyuk ketika solat adalah diharuskan selama ia tidak mengandungi unsur-unsur atau kepercayaan yang menyimpang dari segi syarak.
Mencuri nafas yang tidak dibenarkan adalah apabila nafas tersebut menyebabkan terpotongnya ayat al-Quran di tengah-tengah atau sebelum sempat menyempurnakan makna sesuatu ayat tersebut. Oleh itu, tidak salah mengamalkan kaedah tersebut. Bacalah al-Quran dengan menghabiskan setiap ayat atau berhenti pada tempat waqaf yang telah ditentukan dalam mushaf.