Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...Semoga Allah memberkati Tuan mufti dan para panel....saya ada 2 soalan yang mengelirukan saya dari dulu
1.adakah sesuatu sukan menjadi haram jika berlaku kata2 kesat? Kita bermain sukan tetapi apabila bermain , kawan kita mencarut/mengeluarkan kata2 kesat akibat kesalahan yang kita buat ataupun dia sengaja mencarut/kata2 kesat disebabkan tabiat
2.Adakah sesuatu pertandingan itu menjadi haram jika berlaku maksiat? Kita bermain sukan seperti bola dan ragbi...apabila berlawan dengan sekolah lain , ada pemain dari sekolah lain tu dia tak tutup aurat
Jawapan
Sukan merupakan suatu aktiviti yang baik, ia boleh menjadi ibadah jika diniatkan kerana Allah SWT untuk menyihatkan tubuh badan serta membentuk akal yang waras dan cerdas. Berdasarkan soalan tuan:
1. Sukan tersebut tidak menjadi haram dengan kata-kata kesat. Walaupun begitu, mencarut atau mengeluarkan kata-kata yang kesat merupakan perbuatan yang dilarang oleh Allah dan bertentangan dengan akhlak serta adab Islam. Larangan berkata-kata kesat bagi orang Mukmin termasuklah larangan mengejek, menghina dan memperolok-olokkan orang lain seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
2. Kewujudan sebahagian pemain yang tidak menutup aurat dengan sempurna ketika bermain bola sepak atau ragbi, tidak menjadikan sukan tersebut yang pada asalnya adalah harus menjadi haram. Namun niat menyertai permainan tersebut perlu jelas iaitu kerana menyertai aktiviti sukan serta mempunyai azam untuk menunjukkan akhlak yang baik dan berdakwah kepada mereka. Adalah menjadi tanggungjawab pihak penganjur sukan untuk menetapkan syarat dan peraturan yang bukan sahaja mematuhi etika permainan bahkan juga memenuhi tuntutan syarak.