BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Bagaimana cara solat fardhu didalam KTM komuter? Sebahagian pekerja terpaksa solat subuh dalam perjalanan ke pejabat di dalam komuter memandangkan waktu subuh terhad. Bertolak setiap pagi jam 5.30 pagi dan tiba di pejabat di KL jam 7.00 pagi. Mohon penjelasan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, kepentingan solat yang perlu dilakukan dalam semua keadaan amat jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring”. (Riwayat al-Bukhari). Tetapi ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat menunaikan solat berdasarkan waktu yang telah ditetapkan. Dalam hal ini umat Islam diharuskan untuk menunaikan solat menghormati waktu. Pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi. Antaranya, tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu. Seseorang yang melakukan solat menghormati waktu wajib mengulangi solatnya apabila sudah memperolehi kemudahan atau kemampuan untuk bersuci atau tidak berhalangan menggunakan air jika waktu solat tersebut masih ada. Jika waktu solat itu sudah luput, wajiblah seseorang mengqada’kan solat tersebut. Niatnya sebagai contoh: “Sahaja aku solat fardhu Subuh dua rakaat menghormati waktu kerana Allah Taala”. Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberikan keterangan yang berguna untuk kita sama-sama menjadikan solat sebagai agenda pertama kita dalam kehidupan. Lihatlah selepas laungan ‘marilah menuju ke arah solat’ ketika azan. Sesudahnya ialah laungan ‘marilah menuju ke arah kejayaan’. Bagi orang yang menjaga solatnya, sudah tentulah kebahagian dan kejayaan menjadi miliknya di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 216

message user image