Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum. Saya sering berasa ada perkara lalu dia hati dan fikiran saya sejak 3 minggu ini. Perkara tersebut menghina Allah dan agama. Saya tidak mahukan perkara tersebut berada di dalam diri saya sehingga saya menangis dan takut saya kufur/murtad. Adakah saya berdosa/kufur? Dan bagaimana saya ingin menghilangkan perasaan tersebut? Saya selalu berzikir mengingat Allah tapi perkara ini susah hilang dari fikiran saya. Sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Seseorang itu boleh jatuh murtad disebabkan oleh 3 perkara iaitu secara iktikad (hati), lisan (percakapan) atau perbuatan. Berdasarkan soalan ini, perkara ini termasuk dalam urusan melibatkan hati. Justeru, sekiranya seseorang berazam dalam hatinya untuk keluar daripada Islam maka dia dikira telah murtad. Namun, soalan di atas tidak sampai ke tahap itu kerana perkara tersebut sekadar bermain di fikiran tanpa azam untuk murtad. Maka ia tidak dihukumkan berdosa atau kufur.
Lintasan hati kadangkala datang daripada gangguan syaitan. Oleh itu, tuan disarankan untuk bermulazamah dan membiasakan diri dengan majlis-majlis zikir serta majlis-majlis ilmu. Majlis zikir dapat mendatangkan ketenangan hati manakala majlis ilmu boleh memberikan pendedahan mengenai manakah perkara yang betul dan batil. Pilihlah majlis ilmu yang mengajarkan mengenai ilmu tauhid secara khusus. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT, dan mudah-mudahan tuan diberikan penyelesaian terhadap perkara ini.