Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin memohon pencerahan dan nasihat. Apakah hukum isteri yang tidak pernah mahu bersama (bersetubuh) sejak hari pertama berkahwin sehingga sekarang, usia perkahwinan yang mencecah tempoh 1 tahun? Sepanjang tempoh perkahwinan tidak pernah bersama langsung.
Penolakkan isteri dengan alasan takut dan penat walaupun telah banyak kali di ajak, dipujuk dan dinasihat. Apakah yang perlu dilakukan seterusnya? Apakah hak yang boleh dituntut suami?
Diharapkan pihak tuan yang arif dan pakar dalam bidang seperti ini boleh memberi pencerahan dan nasihat serta pandangan untuk mencari jalan penyelesaian.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Di antara tanggungjawab isteri adalah mentaati perintah suami pada perkara yang ma’ruf selagimana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syara. Para fuqaha bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram. Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi. (Riwayat al-Bukhari)
Pengajaran daripada hadis tersebut menunjukkan besarnya hak suami ke atas isterinya. Ini menjadi dalil bahawa haram bagi seorang isteri itu menolak ajakan suami mahupun berlengah-lengah atau dipaksa suami mengajak ke tempat tidur untuk istimta’ (berseronok) dan bersetubuh. Menolak permintaan tersebut dianggap sebagai dosa besar disebabkan malaikat melaknatnya sehingga pagi.
Oleh yang demikian, tuan dan isteri hendaklah berbincang dengan cara yang baik bagi mengatasi permasalahan ini. Sekiranya perlu, tuan boleh membuat sesi rundingcara bersama pegawai khidmat nasihat di mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran, agar permasalahan ini tidak berpanjangan dan membawa kepada kemudharatan yang lebih besar.