BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum 

Permasalahan yang sedang saya hadapi adalah berhubung dengan suami yang lalai tentang solat (jarang-jarang solat) dan juga meremehkan tanggungjawabnya sebagai suami. Walaupun telah sering kali saya beri nasihat namun beliau tidak memperdulikannya, bahkan ada kalanya ia memperlekehkan nasihat saya. Sejujurnya saya amat kecewa dengan sikapnya namun saya masih boleh bersabar dan bertahan walaupun perkahwinan ini telah pun mencecah 34 tahun dengan harapan beliau akan berubah . Tetapi nampaknya hingga kini saya tak nampak ia berubah. Persoalannya apakah kedudukan saya sebagai seorang isteri bilamana suaminya ingkar perintah Allah, khususnya meninggalkan solat yang merupakan tiang agama. Saya pernah terbaca tentang pengertian fasik. Ada ketikanya saya terlalu benci dengan sikapnya hingga menimbulkan hilang hormat kepada beliau. Perlukah saya memohon perceraian, walaupun hakikatnya ianya sesuatu yang amat berat untuk saya ambil keputusan ini, memandangkan banyak faktor, lebih-lebih lagi diusia kami sebagai warga emas.  Termasuk memikirkan kesihatannya, dimana beliau sedang menjalani rawatan dialisis diusianya lewat 70an. Sekiranya saya meneruskankan perkahwinan ini, adakah saya berdosa . Kebelakangan ini fikiran saya semakin terganggu dan rasa bersalah kerana memikirkan permasalahan ini. Kemungkinannya telah terlalu lama saya pendam. Sesunggohnya saya amat memerlukan rujukan. Saya amat hargai nasihat tuan dan diucapkan ribuan terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan;

1. Jika seseorang itu meninggalkan solat tanpa mengingkari akan kewajipannya dan mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau meremeh-remehkannya, tidak dihukum kafir akan tetapi fasiq dan wajib bertaubat.

2. Menuntut perceraian dalam keadaan suami tidak solat sememangngya dibolehkan dalam Islam. Akan tetapi, ia bukanlah suatu perkara yang disukai malah dibenci Allah SWT. Sebaik-baiknya perkara ini diselesaikan terlebih dahulu sesama ahli keluarga sebelum menuntut perceraian. Isteri hendaklah terus menasihati suami untuk menunaikan solat sekadar termampu dan mengajaknya menunaikan solat dengan harapan dia akan kembali insaf dan bertaubat. Si isteri juga dicadangkan untuk meminta bantuan dari orang-orang yang disegani pasangan untuk menasihatinya. Selain itu, isteri dicadangkan untuk mengajak anak-anak atau ahli keluarga yang lain untuk solat secara berjemaah. Dengan ini, semoga akan timbul rasa segan dan malu dalam hati suami apabila meninggalkan solat.

Si isteri juga hendaklah sentiasa mendoakan suami agar ia diberikan hidayah dan pertolongan Allah SWT untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Moga dengan usaha tersebut, Allah menganjari pahala kepada puan dan membuka hati suami serta memberi keringanan kepadanya dalam melaksanakan ibadah solat dengan baik.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 108

message user image