Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaamualaikum,
saya ingin bertanya.apakah hukum bekerja di kilang membuat peralatan vape yang hanya dieksport ke luar negara dan tidak dipasarkan dalam malaysia. Adakah gaji yang diperoleh haram? Jika selama ini duit gaji dizakatkan dan ada disedekahkan kepada orang yang memerlukan, adakah semua itu juga haram dan berdosa? Mohon pencerahan dari pihak tuan.
terima kasih
Jawapan
Sebagaimana yang telah diputuskan dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali 1/2016 yang bersidang pada 19 Januari 2016 memutuskan bahawa:
Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape.
Berdasarkan kepada situasi pihak puan, walaupun bekerja di kilang membuat peralatan vape yang tidak dipasarkan di Malaysia dan duit gaji dizakatkan serta disedekahkan kepada orang yang memerlukan, namun ia bersalahan dengan fatwa Negeri Selangor dan juga negeri-negeri lain bahawa penggunaan rokok elektronik ini adalah HARAM. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan/permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
Adalah disarankan pihak puan segera berusaha seupaya mungkin untuk mencari pekerjaan lain yang halal dan diberkati. Sementara menunggu pekerjaan lain, boleh kekal dengan pekerjaan asalnya itu, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai tanggungan. Namun hendaklah dia membenci pekerjaan itu dengan hatinya, kerana itu adalah selemah-lemah iman. Yakinlah, rezeki adalah dari Allah dan Dia tidak akan menyempitkan rezeki hamba-Nya dan sentiasa mempermudahkan jalan bagi kita yang mencari kebaikan.