Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt,
Saya ingin bertanya mengenai soal nafkah suami kepada isteri.
Adakah tidak jatuh hukum wajib bagi suami untuk memberi nafkah kepada isteri selagi mereka tidak tinggal sebumbung? Sebagai contoh, selepas nikah, isteri menetap di Selangor dan suami pula di Singapore kerana masing-masing bekerja.
Isteri: Bekerja dan menetap di Selangor. Tinggal bersama abang dan kakak di rumah pusaka keluarga sendiri.
Suami: Bekerja dan menetap di Singapore. Tinggal bersama datuk dan nenek di rumah mereka.
Disini, si isteri tidak memerlukan nafkah untuk tempat kediaman kerana menetap di rumah keluarga. Bagaimana dengan nafkah yang lain seperti makan/minum dan pakaian?
Sekian,
Terima Kasih.
Nur Aqilah Jabat
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nafkah menurut syarak adalah mengeluarkan harta untuk perbelanjaan keperluan manusia seperti makanan dan minuman, pakaian dan tempat tinggal serta selainnya. Antara sebab kewajipan memberi nafkah ke atas seseorang adalah kerana hubungan perkahwinan, kekeluargaan dan pemilikan. Dalam konteks rumahtangga, suami berkewajipan memberi nafkah kepada isteri atas sebab perkahwinan sebagaimana yang telah disepakati para ulamak. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri ada harta atau pendapatan sendiri.
Dalam menjawab persoalan puan, walaupun puan dan suami tinggal berasingan kerana tuntutan bekerja, namun kewajipan menyediakan nafkah oleh suami puan tidaklah tergugur. Oleh itu suami masih wajib memastikan nafkah isteri seperti tempat tinggal, makan, minum, alat membersihkan diri serta pakaian disediakan dengan sepatutnya.
Adalah menjadi tanggungjawab suami menyediakan rumah atau tempat tinggal yang khusus untuk isteri dan anak-anak sesuai berdasarkan kemampuan dari segi kewangan serta tidak berkongsi dengan kerabat suami seperti ibu atau ayah suami melainkan dengan keredaan isteri. Begitu juga wajib bagi suami menyediakan keperluaan asas rumah seperti tempat tidur, alat-alat memasak dan bilik mandi.
Suami isteri perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan berbincang secara harmoni bagi memastikan pengurusan nafkah dapat disalurkan dengan sempurna dan memenuhi tuntutan syarak.
الله أعلم بالصواب