BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya pengusaha homestay bujet. Saya sewakan kepada seorang guest ini yang memaklumkan kepada kami mereka datang berkeluarga. Jiran hubungi saya kerana ragu-ragu dengan guest tersebut. Saya bergegas ke sana dan menyoal guest yang ada. Pada waktu itu hanya ada seorang budak lelaki. Dia maklumkan perempuan itu kakaknya dan lelaki dewasa seorang lagi itu bapa saudara. Mereka ada urusan keluarga. Tiada bukti bertulis. Pemuda lelaki hanya tunjukkan gambar bahawa beliau dan perempuan itu keluarga. Setelah disiasat, rupanya ini kali kedua mereka menyewa homestay kami tetapi tukar maklumat diri. Persoalan saya, bagaimana untuk saya yakinkan bahawa rezeki yang saya dapat itu rezeki yang berkat? Saya selalu takut dan was-was sehingga bercadang untuk menjual rumah tersebut.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Sekiranya yang dimaksudkan perbuatan menginap oleh pasangan tersebut adalah khalwat. Maka ia jelas bersalahan dengan prinsip agama. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan (yang ajnabi) melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya. (Riwayat Muslim) 

Malah berkenaan khalwat ini juga boleh didakwa atas kesalahan melanggar Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 bagi negeri Kelantan sebagaimana yang telah diperuntukkan seperti berikut:

BAHAGIAN II - KESALAHAN-KESALAHAN
Seksyen 9. Khalwat.

(1) Seseorang lelaki yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isterinya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(2) Seseorang perempuan yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak di mana-mana tempat dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya selain daripada suaminya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan dengan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(3) Seseorang lelaki yang didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau bukan mahramnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik pada mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka akan melakukan maksiat adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(4) Seseorang perempuan yang didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang lelaki yang bukan suaminya atau bukan mahramnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik pada mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka akan melakukan maksiat adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(5) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana perempuan yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen ini dimasukkan ke suatu rumah kebajikan selama tempoh tidak melebihi satu tahun.

Justeru itu, mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ini boleh diambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat laporan.

Walau bagaimanapun, rezeki yang tuan perolehi selama ini adalah rezeki yang berkat dan halal bahkan tuan tidak perlu ragu-ragu terhadap hasil yang telah diperolehi. Apa yang berlaku bukan dengan dalam pengetahuan serta kerelaan pihak tuan. Namun begitu, dicadangkan untuk masa akan datang agar tuan menetapkan peraturan secara bertulis berdasarkan ketetapan yang perlu diambil kira seperti enakmen yang termaktub oleh pihak autoriti negeri untuk sebarang persetujuan dan urusniaga agar pelanggan menghormati dasar yang telah ditetapkan oleh pemilik premis.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 162

message user image