Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya merupakan pelajar untuk program professional antarabangsa. Ujian bagi program professional tersebut adalah mengikut waktu di United Kingdom (UK). Bagi waktu di Malaysia, ujian akan berlangsung pukul 1.30pm hingga 4.45pm. Pelajar diminta untuk memasuki dewan pada pukul 1pm.
Ini bermakna waktu ujian tersebut bermula sebelum waktu Zohor dan berakhir pada waktu Asar. Saya ingin bertanya apakah yang perlu saya lakukan kerana tiada toleransi diberikan untuk memasuki dewan lambat. Adakah dibenarkan untuk solat Jama' bagi solat Zohor itu dengan solat Asar atau Qadha' solat Zohor setelah habis peperiksaan.
Saya berharap pihak tuan dapat menjawab persoalaan saya ini. Terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Dalam keadaan seperti ini, ia disebut sebagai masyaqqah iaitu kesusahan atau kepayahan. Maka dalam keadaan masyaqqah adanya rukhsah sebagai pemudah cara. Justeru, tindakan yang perlu dilakukan adalah melaksanakan solat secara jamak takhir iaitu pada waktu asar secara tamam (sempurna) tanpa perlu diqasarkan. Menurut mazhab Shafi'i jamak hanya dibenarkan dalam keadaan bermusafir, sakit dan hujan. Namun begitu, terdapat keadaan-keadaan yang mengharuskan jamak sekiranya ada masyaqqah yang tidak dapat dielakkan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA:
Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menghimpunkan (jamak) solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya' bukan disebabkan peperangan, dan tidak hujan. Dalam riwayat lain: Bukan disebabkan peperangan dan tidak musafir. (Riwayat Muslim)
Dalam menjelaskan hadis di atas, Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, katanya:
"Jamak yang dimaksudkan dalam hadis ialah semua jenis jamak sama ada kerana sakit atau selainnya. Selain itu, keperluan orang sakit dan orang yang berperang untuk solat jamak adalah lebih pasti berbanding jamak kerana hujan."
Malah dalam hal ini, perlu diketahui terdapat beberapa keadaan seseorang itu tidak berdosa melewatkan solat sehingga melepasi waktunya, antaranya seperti yang dinyatakan dalam kitab Taqrirat al-Sadidah: