Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz
Saya merupakan seorang pesakit kanser ovari tahap 4. Telah menjalani beberapa kali pembedahan di perut. Keadaan saya sekarang mempunyai perut yg besar.
Masalah dan kemuskilan saya ialah tentang wudhu saya sebab saya selalu ada rasa macam setitis air kencing di hujung kemaluan walau saya dah cuci banyak kali. Saya jangka sebab tekanan dari perut ke pundi kencing yg menyebabkan masalah ini. Saya dah bertanya pada doktor tapi tak ada penyelesaiannya. Saya susah hati tentang solat saya sebab kadangkala saya tetap teruskan solat walaupun ada rasa was2. Bolehkah saya lap kemaluan saya selepas wudhu untuk pastikan tidak ada air yang mengalir keluar. Mohon penerangan yg jelas dari ustaz. T.kasih ustaz.
Jawapan
Adalah diharuskan untuk saudari mengelap atau mengeringkan kemaluan selepas berwuduk untuk memastikan tidak ada air yang mengalir.
Apa yang saudari boleh lakukan adalah memastikan sama ada terdapat air kencing yang keluar atau tidak dengan cara mengeringkan kemaluan iaitu dengan mengelapnya selepas membuang air kecil. Kemudian, apabila terasa sesuatu keluar di hujung kemaluan, pereksa sama ada wujud air kencing yang keluar atau tidak. Jika tiada, maka ia hanya was-was dan hendaklah diabaikan sahaja.
Namun sekiranya benar terdapat cecair yang keluar, maka ia wajib dibasuh dan disucikan kerana ia adalah najis.
Seandainya perkara ini berlaku dengan kerap dan berpanjangan tanpa dapat dikawal, ini bermakna saudari mengalami penyakit salasul bawl. Oleh itu, saudari perlu menjaganya dengan memakai cawat atau pampers. Bagi tujuan menunaikan solat, ia perlu dibersihkan sebaik sahaja masuk waktu dan menukar cawat atau pampers yang diikuti dengan mengambil wuduk. Selepas itu tunaikanlah solat, walaupun dalam keadaan air kencing keluar. Inilah cara atau kemudahan yang dibenarkan bagi mereka yang bermasalah kencing tidak lawas. Begitulah yang perlu dilakukan bagi setiap solat fardu. Satu wuduk sah untuk satu solat fardu. Walau bagaimanapun, ia boleh digunakan untuk beberapa solat sunat.
والله أعلم بالصواب