BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya Ada soalan yang ingin ditanya. Saya Ada Adik beradik 6 orang, 4 lelaki dan 2 perempuan. Pertanyaan Saya adalah, 2 orang Adik Saya perempuan dan lelaki bergaduh besar, Adik lelaki Saya telah melepas cakap kepada Adik perempuan Saya, Adik lelaki Saya berkata (SAYA BERSUMPAH AKAN MEMBUNUH KAMU BESOK KALAU KAMU TAK BAYAR RM 2000). (  KAMU BUKAN KAKlAK SAYA) . Saya Nak Tanya apa hukum berkata demikian, dan apa perlu dibuat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ia terkait dengan sumpah. Sumpah adalah satu tekad yang diungkapkan dengan nama Allah SWT untuk melakukan sesuatu perkara. Apabila seseorang telah bersumpah sesuatu perkara lalu dia melanggar sumpah tersebut dengan tidak menunaikannya maka diwajibkan membayar kaffarah sumpah. Namun perlu diambil perhatian bahawa melanggar sumpah ada kalanya wajib iaitu melanggar sumpah melakukan perkara haram seperti membunuh. Bersumpah untuk membunuh wajib ditinggalkan kerana membunuh adalah haram dan berdosa besar. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 89;

لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغۡوِ فِيٓ أَيۡمَٰنِكُمۡ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلۡأَيۡمَٰنَۖ فَكَفَّٰرَتُهُۥٓ إِطۡعَامُ عَشَرَةِ مَسَٰكِينَ مِنۡ أَوۡسَطِ مَا تُطۡعِمُونَ أَهۡلِيكُمۡ أَوۡ كِسۡوَتُهُمۡ أَوۡ تَحۡرِيرُ رَقَبَةٖۖ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلَٰثَةِ أَيَّامٖۚ ذَٰلِكَ كَفَّٰرَةُ أَيۡمَٰنِكُمۡ إِذَا حَلَفۡتُمۡۚ وَٱحۡفَظُوٓاْ أَيۡمَٰنَكُمۡۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ  

Maksudnya : Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah-peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.

Kaffarah yang dikenakan ke atas orang yang melanggar sumpahnya adalah dengan memilih salah satu daripada perkara berikut:

  1. Memberi makan 10 orang miskin, setiap orang miskin 1 cupak makanan asasi. Maksud memberi makan adalah memberi milik kepadanya dan tidak memadai dengan mengundang mereka menikmati jamuan makan dan seumpamanya.
  2. Memberikan pakaian yang biasa dipakai kepada 10 orang miskin. Pakaian iaitu sesuatu yang selayaknya dipanggil pakaian. Sepakat fuqaha menyatakan tidak sah jika hanya kasut, songkok, stokin kerana dengan yang demikian tidak dikatakan sebagai berpakaian melainkan perlu berbaju.
  3. Memerdekakan seorang hamba beriman, lelaki atau perempuan

Jika tidak mampu mana-mana di atas, maka wajib berpuasa salama 3 hari tanpa disyaratkan berturut-turut.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, oleh kerana dalam ungkapan yang dinyatakan tiada menyebut nama Allah SWT, maka ia tidak dikira sebagai sumpah dan tidak diwajibkan membayar kaffarah. Namun sebagai seorang muslim, menjaga silaturrahim merupakan perkara yang diwajibkan lebih-lebih lagi sesama adik-beradik. Berdamailah dengan penuh hikmah supaya hidup berkeluarga lebih main dan diberkati Allah SWT.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 158

message user image