BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya memohon pencerahan berkenaan pengesahan perkahwinan saya. Saya berkahwin pada 2018 dan berwalikan bapa isteri dan mendaftarkan perkahwinan di negeri Selangor. Tambahan itu, saya juga sudah mendapat seorang anak pada tahun 2021. Baru-baru ini timbul cerita dari keluarga sebelah isteri mengatakan isteri saya sebenarnya anak tidak sah taraf dan perkahwinan kami sebenarnya memerlukan wali hakim dan bukan wali bapa. Isteri tidak mengetahui perkara ini dan untuk makluman, isteri dilahirkan selepas 7 bulan perkahwinan dan ber bin kan nama bapa (wali), dan pada fahaman saya bapa mertua saya tidak menceritakan hal sebenar ataupun berbohong pada jurunikah dalam masa proses dokumentasi perikahan saya dibuat. Buat masa ini bapa mertua (wali) masih tidak memberi sebarang penerangan dan membisu berkenaan perkara. Sumber maklumat yang didapati ini boleh dikatakan sahih dan boleh dipercayai. Persoalan saya;

1. Apa status hubungan saya dengan isteri sekarang? Bolehkah kami bersama pada waktu ini?

2. Jika tidak sah, perlukah kami bernikah semula menggunakan wali hakim?

3. Apakah status anak saya jika perkahwinan ini dianggap tidak sah?

4. Jika perkara ini dianggap tidak sah, perlukah saya berurusan dengan Majlis Agama Islam Negeri Selangor atau tempat yang mudah kami berurusan bersama dengan ibu bapa isteri? 

Bagi mengelakkan aib keluarga sebelah isteri diketahui keluarga sebelah saya dan ditakuti boleh mendatangkan kemudaratan, perlukah keluarga sebelah saya sebagai suami terlibat dalam proses pembetulan masalah ini.

Mohon pencerahan serta bantuan pihak tuan,

Sekian, terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Pertama sekali tuan perlu melaporkan dengan kadar segera perkara ini ke Pejabat Agama Islam Daerah di mana tuan berkahwin.

2. Pihak kami tidak boleh membuat sebarang pengesahan tentang perkara ini kerana ia melibatkan keterangan pihak-pihak bagi memastikan persoalan atau isu ini sahih atau sebaliknya. Antara pihak yang paling penting dalam isu ini adalah keterangan dan pengakuan dari pihak bapa dan ibu isteri tuan.

3. Sekiranya tuan dan isteri ragu dengan status perkahwinan ini, maka sebagai jalan berhati-hati, mungkin boleh untuk tuan dan puan tinggal berasingan sehingga isu ini dapat diselesaikan oleh pihak Pejabat Agama Islam yang berkaitan.

4. Sekiranya nanti jika sekiranya pernikahan itu disabitkan oleh mahkamah tidak sah, maka pernikahan itu akan difaraqkan oleh mahkamah Syariah dan mahkamah juga akan menentukan status anak yang lahir dari pernikahan ini sebagai anak wati' syubhah atau persetubuhan syubhah, di mana anak ini boleh dinasabkan kepada bapanya dan sekiranya anak itu perempuan, bapanya boleh menjadi wali kepada pernikahannya nanti.

Adapun pasangan yang difaraqkan atau dipisahkan pernikahannya oleh mahkamah, sekiranya mereka berkahwin semula maka pernikahan tersebut hendaklah menggunakan wali hakim sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 376

message user image