BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

1) Assalamualaikum Ustaz saya nak tanya ? Jawapan istikharah boleh berubah tak ? Contoh kita buat bulan ni january jawapan dapat macamni. Kemudian buat pulak bulan december jawapan dapat mcm lain.

2) Kawan perempuan saya buat istikharah berkenaan soal saya ini jodoh dia atau tidak, dia bagi jawapan saya tidak sesuai kerana saya cepat marah. Tapi menurut saya pula, saya cakap saya memang tengah teruk dan belum bertaubat ketika itu. Sekarang saya sudah bertaubat dan bersungguh sungguh untuk perbaiki akhlak dan agama saya untuk menamatkan zaman bujang saya dan berkahwin dengannya. Saya memohon agar Allah jodohkan saya dengannya amin. Saya tidak akan berputus asa insyaAllah seperti abu nawas. Boleh beri penjelasan tak. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Sebelum menjawab persoalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa solat istikharah adalah sunah yang diajarkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah RA:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

MaksudnyaRasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda: sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda: Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.

(Riwayat al-Tirmizi)

Hukum solat Istikharah adalah sunat dan ia amat digalakkan sewaktu seseorang berasa berat hati atau keliru untuk membuat keputusan. Begitu juga ketika mencari seorang calon suami atau isteri, istikharah boleh dibuat agar Allah memudahkan usaha yang kita lakukan. Antara tanda-tanda jawapan bagi istikharah yang dibuat adalah seperti mendapat mimpi, gerak hati terhadap sesuatu atau dipermudahkan urusan yang baik. Istikharah bukanlah semata-mata untuk memohon jawapan daripada Allah. Sebaliknya, ibadah ini menunjukkan kebergantungan hamba kepada Pencipta kerana yakin bahawa Dia sahaja yang mampu mengawal kehidupan ini. 

Merujuk kepada soalan yang diutarakan, secara dasarnya Allah pasti memberi jawapan kepada istikharah hamba-Nya dengan satu jawapan yang tepat dan tidak berubah-ubah. Cuma bagaimana sesorang itu boleh mengenal pasti sama ada jawapan yang diberikan itu adalah benar mahupun sekadar sangkaan diri mereka semata-mata. Disebabkan itu, sekiranya seseorang yang telah beristikharah masih berasa sangsi, adalah disarankan agar ia terus melaksanakan solat istikharah dan berdoa kepada Allah agar dikurniakan petunjuk yang nyata. Misal tanda-tanda jawapan istikharah yang dinyatakan di atas boleh dijadikan panduan di samping boleh juga merujuk pendapat orang yang dipercayai untuk membuat keputusan (nasihat atau istisyarah).

Di samping itu, sebagai seorang Muslim, kita amat digalakkan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Usaha tersebut perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan inshaAllah apabila kita menjadi insan yang baik, Allah pertemukan kita dengan jodoh yang baik juga. Yakinlah bahawa sesungguhnya aturan Allah sama ada dari segi jodoh ataupun perkara lain adalah merupakan aturan yang terbaik buat kita. Setelah berusaha maka kita perlu bertawakal dan redha dengan aturan-Nya sama ada apa yang ditakdirkan itu mungkin tidak memenuhi kehendak dan hajat kerana boleh jadi apa yang kita hajati itu bukanlah sesuatu yang baik bagi diri kita sebagaimana. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 216: 

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Diwajibkan atas kalian berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kalian benci. Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian; dan boleh jadi (pula) kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui.  

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 292

message user image