Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya ada kemusykilan berkenaan dengan topik "Sumpah".
Saya pernah berniat di dalam hati begini..."Aku bersumpah malam ini aku akan bangun untuk tunaikan solat tahajjud".Tetapi tiba malam itu saya tidak bangun untuk tunaikan solat tahajjud.
Soalan saya :
1) Adakah sumpah saya di kira sah walaupun saya tidak bersumpah dengan nama Allah?
2) Adakah saya perlu membayar kafarah?
Mohon pencerahan.Terima Kasih.
Waasalamu.
Jawapan
Sumpah adalah perkataan tekad yang disertai dengan nama Allah SWT atau salah satu daripada sifat-Nya. Sekiranya puan bersumpah tetapi tidak disertai dengan nama atau sifat Allah, maka ia tidak dikira sebagai sumpah dan tidak terkesan dengan kaffarah sumpah walaupun melanggarnya.
Contoh lafaz sumpah adalah: "Aku bersumpah dengan nama Allah akan bangun tahajjud pada pagi esok". Sabda Nabi SAW
Maksudnya: Sesiapa yang bersumpah, maka hendaklah bersumpahlah dengan nama Allah, atau hendaklah dia diam sahaja.
(Riwayat al-Bukhari)
Namun sekiranya sumpah itu hanya di dalam hati, maka ia tidak dikira sebagai sumpah.
Menjawab persoalan berdasarkan kenyataan yang puan berikan:
1. Sumpah itu tidak sah.
2. Tidak perlu membayar kaffarah.