BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya ada kemusykilan berkaitan solat yang sah.

Saya bekerja di pejabat. Selepas saya menggunakan tandas, dan semasa berjalan ataupun duduk,kadang-kadang ada saki baki air yang akan keluar daripada kemaluan. Terutamanya jika sebelum ke tandas saya ada minum air dan suasana sejuk disebabkan penghawa dingin. Oleh sebab saya berada di luar daripada rumah, ia agak sukar untuk saya membersihkan tempat tersebut dan pakaian dengan secara efektif. 

Soalan saya adalah ketika waktu pejabat, apakah hukum solat zuhur dan asar yang saya kerjakan ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada permasalahan yang diajukan, apabila membuang air hendaklah dibersihkan tempat atau bahagian yang terkena najis sahaja. Ini yang diperintahkan di dalam agama Islam. Oleh itu, sebenarnya apabila kita beristinjak dengan menggunakan air, maka sudah tentu terdapat saki-baki air yang turun dan berkumpul di hujung kemaluan dan seterusnya menitis. Memang perkara ini akan berlaku, kerana itu apabila telah dipastikan air kencing atau najis telah keluar habis, maka yang menitis selepas beristinjak itu adalah air atau bekas air yang telah kita gunakan untuk membersihkan bahagian atau tempat keluarnya najis. Sehubungan itu, solat yang ditunaikan tersebut adalah sah.

Oleh itu, adalah disunatkan untuk berdehem setiap kali selesai membuang air kecil bagi memastikan kencing yang lawas.

Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri anda yang perlu dijauhi bagi  menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri anda pada masa akan datang. Perasaan was-was itu adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.  

Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 128

message user image