BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.h .

Tuan / Puan,

1) Saya telah melakukan kesilapan berzina dan mengandung juga telah berkahwin dengan lelaki yang tersebut setelah anak di dalam kandungan berusia 2bulan ++.. Saya telah melahirkan dan mendaftarkan anak tersebut dengan nama suami walaupun tahu anak tersebut tidak sah taraf. 

2) Telah berlaku perceraian antara kami dan saya telah menuntut nafkah anak tersebut di mahkamah dan mahkamah meluluskan. Dari segi hukum adakah saya bersalah kerana tidak berterus terang dengan mahkamah tentang status anak tersebut sehinggakan mendapat duit tersebut. Adakah duit tersebut halal utk digunakan. Sedangkan saya tahu hukum menafkahi anak tersebut jatuh ke atas saya?

3) Anak tersebut perempuan dan telah dijaga oleh bekas suami (bapa biologi) anak tersebut. Apakah hukum aurat diantara anak tersebut dgn bekas suami (bapa biologi)? Apakah aurat diantara anak tersebut dengan adik beradik lelaki bekas suami dan ayah bekas suami (atuk)?

4) Anak perempuan tersebut tidak dijaga (terlalu dimanjakan dan dibiarkan berlaku bebas dalam pergaulan). Adakah saya berdosa membiarkan anak tersebut dijaga oleh pihak yg tidak sepatutnya?

5) Benarkah anak tersebut dijaga atas dasar ihsan semata oleh bekas suami dan keluarganya dan mereka tidak boleh disalahkan andai terjadi sesuatu yang buruk terhadap anak tersebut?

Harap tuan / puan dapat menjawab persoalan saya. terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Berkaitan dengan soalan pertama ini, sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda :

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ, أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: Sesiapa yang menasabkan kepada selain daripada bapanya atau menisbahkan mawla selain daripada mawlanya. Maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan juga manusia keseluruhannya. (Riwayat Ibnu Majah)

Jelas daripada hadis ini dinyatakan bahawa perbuatan meletakkan bin atau binti seorang anak kepada bapa selain daripada bapanya yang sah mengikut syarak adalah dilarang dan berdosa menurut ajaran Islam. Dalam konteks puan, anak tersebut adalah anak tidak sah taraf.

2. Dalam hukum syarak, kewajipan memberi nafkah dan saraan hidup bagi anak tak sah taraf adalah terletak kepada ibunya. Adapun dalam kes puan, sekiranya semasa perbicaraan dan keputusan kelulusan tuntutan nafkah itu diperintahkan oleh mahkamah, suami puan akur dan setuju serta tidak mempertikaikan perintah tersebut, maka secara asasnya duit nafkah tersebut tidaklah menjadi haram kerana bekas suami puan reda dan tidak mempertikaikan perintah tersebut sedangkan bekas suami puan juga tahu status anak tersebut adalah anak tidak sah taraf.

3. (i) Aurat dengan bapa biologi menjadi mahram kerana dia telah berkahwin dan berlaku persetubuhan dengan puan. Status bekas suami puan adalah bapa tiri kepada anak perempuan tersebut dan mereka tidak boleh berkahwin hingga bila-bila.

    (ii) Adapun dengan adik beradik lelaki bekas suami dan ayah bekas suami, mereka adalah bukan mahram dan aurat hendaklah dijaga dengan sempurna.

4. Adalah menjadi tanggungjawab puan juga sebagai ibu kepada anak tersebut untuk memastikan ajaran agama, pendidikan, akhlak dan sebagainya diberikan dengan baik dan sempurna kepada anak tersebut. Ini kerana sebagai ibu dan bapa kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT di atas sebarang kecuaian dan kegagalan kita dalam mendidik mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Islam. Adapun sekiranya kita telah mendidik mereka dengan baik, dan senantiasa menegur mereka, tapi mereka tetap engkar dan tidak mengendahkan teguran dan didikan yang kita berikan, maka ketika itu barulah kita sebagai ibu bapa tidak dipersalahkan atas apa yang dilakukan oleh anak-anak kita.

5. Sudah pasti ketika anak itu diserahkan kepada bekas suami dan keluarganya, mereka menerima dengan reda dan bersedia untuk menjadi penjaga kepada anak tersebut. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kepada mereka untuk menjaga dan memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak jagaan mereka itu, di samping perlu juga sokongan dan dokongan daripada puan sebagai ibu kepada anak tersebut. Bawalah berbincang dengan cara yang baik antara puan dan bekas suami, bagi memastikan tiada pertikaian berkaitan perkara ini dan bagi memastikan anak ini dapat dididik dengan sempurna sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 181

message user image