BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan,

Saya ingin bertanya apakah hukum menggunakan kasut yang mengandungi darah manusia sepertimana yang berlaku di dalam isu kasut lil nas.

Segala perhatian dan kerjasama serta jawapan daripada pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Jika diteliti dengan lebih lanjut, penghasilan kasut lil nas ini jelas mempunyai unsur-unsur pemujaan kepada syaitan. Malah, ia juga membawa kepada kerosakan akidah seseorang muslim. Tambahan pula, kasut tersebut juga mengandungi setitik darah manusia dan ia sangat bercanggah dengan hukum agama. Darah termasuk dalam komponen organ manusia yang diharamkan untuk dijual beli bahkan ia adalah najis. Justeru itu, memilikinya ibarat menyokong hasil usahanya dan sewajarnya bagi seseorang muslim menjauhkan diri daripada perkara sedemikian kerana ia mungkin membawa kepada kogoyahan akidah dan menyerupai kaum yang lain. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai perihal sesuatu kaum, maka dia telah menjadi sebahagian daripada mereka. (Riwayat Abu Dawud)

Oleh itu, umat Islam seharusnya menghindarkan diri daripada terjebak atau melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri dan agama kerana ia bukanlah satu tuntutan yang dianjurkan dalam agama. Hal ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 مِنْ ‌حُسْنِ ‌إِسْلَامِ ‌المَرْءِ ‌تَرْكُهُ ‌مَا ‌لَا ‌يَعْنِيهِ

Maksudnya: Di antara tanda kebaikan keislaman seseorang adalah dia meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya. (Riwayat Al-Tirmidzi)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 189

message user image