Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz. Saya ingin menegetahui hukum pre order emas. A membeli emas dari B dengan bayaran penuh pada hari yang sama. B order pada C untuk menyiapkan emas. C hantar emas pada B setelah 3 bulan (pre order). A mengetahui segala proses dan tempoh. Adakah dibolehkan? Emas adalah barang ribawi yang mesti diserahkan pada masa bayaran penuh dibuat
Jawapan
Emas adalah merupakan salah satu daripada barang ribawi yang mesti berpandukan kepada syarat yang ditetapkan oleh syarak iaitu mathalan bi mathalin (iaitu sama banyak/ jumlah, sekira pertukaran barangan yang sama jenis) dan yadan bi yadin (iaitu on the spot, lani atau tidak bertangguh). Isu yang dibangkitkan adalah mengenai jual beli emas secara bertangguh.
Dalam hal ini, akad pembelian emas itu perlulah dilihat dan diamati. Berdasarkan panduan yang diberikan oleh Standard Syariah terbitan AAOIFI, jual beli emas secara pre order hanya boleh dilakukan sekiranya wang yang diserahkan oleh A kepada B sebelum mendapat emas tersebut adalah berbentuk deposit (atau hamish jiddiyyah), sebagai "janji untuk beli" atau wa'ad dan bukannya akad. Kesannya adalah pembeli iaitu A berhak menarik balik janjinya pada bila-bila masa.
B pula bertindak sebagai wakil kepada A. Dalam hal ini, A mewakilkan kepada B untuk dibeli emas daripada C. Akad jual beli yang sebenar berlaku apabila C telah menyerahkan emas tersebut kepada B dan bayaran penuh diserahkan kepada C.
Maka perlu difahami bahawa akad jual beli sebenar berlaku antara B dan C sewaktu penyerahan emas itu dan bayaran juga hendaklah dilakukan secara lani. Sebelum berlaku jual beli antara B dan C, pihak A boleh menarik balik janjinya pada bila-bila masa. Sekiranya hal ini tidak berlaku, maka akad tersebut dianggap tidak patuh syariah kerana telah berlaku jual beli emas secara bertangguh.