Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Seorang anak perempuan saya telah berkahwin dan juga bercerai kira2 6 tahun lepas. Mereka dikurniakan 2 org anak lelaki; 7 dan 8 tahun. Sehingga kini, kedua2 mereka belom berkahwin semula lagi. Saya dan isteri banyak mengambil bahagian untuk membesarkan kedua2 cucu tu. Walaupun telah bercerai, demi anak2 kekadang mereka akan bertemu dan keluar bersama2; pergi tengok wayang dan makan2 (dan balik rumah masing2). Adakah sepatutnye saya menegah perbuatan mereka itu sebab mereka bukan lagi mahram? Kami ada jugak menegah, tapi mereka kata mereka tahu menjaga batas2 agama. Mereka juga kata tak perlu risau sebab mereka dah tak de perasaan antara satu dengan yang lain. Adakah saya sebagai bapa DAYUS (dan diharamkan bagi saya shurga)? kerana tidak tegas menegah dan menghalang pertemuan mereka? Tolong ustaz, mohon penjelasan.
Jawapan
Secara asasnya, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi yakni bukan mahram berlainan jantina berjumpa dan dalam penentuan hukum tersebut adalah perlu melihat kepada keperluan. Sekiranya tidak ada keperluan, dan perjumpaan itu boleh membawa kepada memandang bukan mahram dengan syahwat, berkhalwat, dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka ia tidak dibenarkan.
Namun begitu, dalam situasi hajat dan darurat, harus sesama ajnabi itu memandang antara satu dan lain. Para ulama menggariskan beberapa panduan berkenaan hal-hal keperluan yang mengharuskan memandang iaitu meminang, belajar, berubat, bermuamalat, kesaksian dalam kes mahkamah atau ketika hakim meminta sumpah dan menjatuhkan hukum. Pengecualian ini berdasarkan kadar keperluan sahaja dan tidak melebihi daripada keperluan. Jika tujuannya adalah untuk berseronok-seronok, maka diharamkan.
Berdasarkan keterangan di atas, dapat kita fahami bahawa hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah diharuskan. Ini kerana suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak daripada sudut memberikan nafkah, pendidikan dan keperluan lain yang sesuai dan perlu. Pastinya, itu akan membawa kepada hubungan muamalah yang melibatkan perjumpaan dan perbualan dengan bekas isteri yang merupakan penjaga kepada anak-anak tersebut. Namun begitu bekas pasangan ini juga hendaklah menjaga pergaulan atau muamalah tersebut semata-mata untuk maslahat anak dan bukan untuk tujuan maksiat. Adalah lebih baik jika ada pihak ketiga atau orang tengah yang bersama-sama mereka agar boleh menegah mereka daripada melakukan maksiat atau apa-apa perbuatan yang tidak baik, atau berjumpa di khalayak ramai, agar dapat mengelakkan fitnah dan buruk sangka masyarakat.
Sekiranya memang ada tindakan pasangan tersebut yang boleh membawa kepada maksiat, fitnah dan sebagainya, maka tindakan tuan memberi nasihat, peringatan dan teguran itu adalah suatu tindakan yang baik serta mulia dan ia sangat dianjurkan oleh Islam. Sama ada pihak yang ditegur itu menerima atau sebaliknya, ia adalah di luar bidang kuasa atau kawalan pihak tuan, maka tuan tidak dikira berdosa atau dayus sekiranya pihak yang ditegur tidak menerima nasihat, peringatan atau teguran tersebut.