BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya ingin bertanyakan soalan, setelah saya habis cuti semester belajar, dan kembali ke rumah sewa , saya dapati ada beberapa kawasan di bilik rumah sewa saya mempunyai najis tikus, jadi setelah sehari saya biarkannya, saya cuma ambil najis itu dengan tisu tanpa mencuci dan membasuh lantai di kawasan yang berkenaan, pertanyaan saya, apakah hukum dan pendapat dari Pihak Jabatan Mufti Selangor sekiranya saya terpijak kawasan najis tersebut? Tambahan, sekiranya ada kencing tikus di tilam, apakah solusinya tuan/puan, saya agak was2 dan tak yakin bersih untuk cuci kawasan tilam yang terkena air kencing tersebut . Sekian, Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan,

1) Tindakan menggunakan tisu untuk menyucikan najis adalah tidak sah kerana dengan cara tersebut tidak dianggap sebagai perbuatan menyucikan najis pertengahan (mutawasitah).  Kaedah yang betul bagi menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis (kencing tikus) tersebut dengan menghilangkannya menggunakan kain bersih. Kemudian dialirkan/tuang air ke atas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi. Oleh itu, jika terpijak pada kawasan terkena najis yang tidak disucikan dengan betul, maka tapak kaki yang berada dalam keadaan basah boleh menjadi mutanajjis dan ini boleh mangakibatkan najis merebak ke kawasan yang lain kesan daripada tapak kaki tersebut. Melainkan sekiranya ain najis tersebut telah dihilangkan dan telah dialirkan ke atasnya air mutlak, maka menggunakan kain, tisu atau mop bersih yang lain untuk mengeringkan air mutlak tersebut adalah diharuskan dan kawasan tersebut telah bersih daripada najis.

2) Kaedah yang betul bagi menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis (kencing tikus) tersebut dengan menghilangkannya menggunakan kain bersih. Kemudian dialirkan/tuang air ke atas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi. Selepas dari itu, lap air tersebut dengan menggunakan kain bersih yang lain. Lakukan perbuatan tersebut beberapa kali hingga yakin telah hilang kesan najis tersebut seperti bau, warna dan rasa.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 147

message user image