BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Hukum Membatalkan Jual Beli Selepas Pembeli Melanggar Perjanjian Jual Beli

Assalammualaikum Tuan. Saya memohon pencerahan berkaitan isu di atas dalam konteks seperti dibawah.

Allahyarham bapa telah menjualkan tanahnya pada Julai 2013. Satu perjanjian telah dibuat dan dalam perjanjian itu, pembeli perlu membayar deposit dan juga baki dibayar secara ansuran yang mengambil masa selama 19 bulan untuk diselesaikan. Nama pada geran akan ditukar selepas semua pembayaran selesai dan pembeli telah mengusahakan kelapa sawit di atas tanah tersebut.

Pada mulanya, pembayaran ansuran berlaku dengan baik setiap bulan, tetapi selepas beberapa pembayaran, pembeli tidak membayar dengan baik. Ada masa, Allahyarham kena pergi mencari pembeli ni (jarak lebih kurang 110km) untuk menuntuk hutang kerana pembeli ni pun selalu menukar nombor telefon. Ada masanya, Allahyarham pulang dengan tangan kosong kerana tidak dapat berjumpa dengam pembeli.

Allahyarham meninggal dunia pada Dis 2019 dan hutang tanah itu masih belum selesai dalam 10% lagi. Ibu dan anak-anak Allahyarham tidak mengetahui secara terperinci mengenai perjanjian ini dan hanya mengetahui tanah telah dijual sahaja. Setelah bapa meninggal dunia, saya sebagai wakil waris yang melaksanakan semua pengumpulan harta pusaka dan membahagikan mengikut kehendak semua waris2. Jadi, butiran perjanjian jual beli dan rekod pembayaran tanah ini juga baru diketahui.

Pembeli tidak menghubungi waris walaupun telah mengetahui berkenaan bapa yang telah meninggal dunia. Saya telah menyelesaikan pertukaran nama pada geran ke atas nama saya selaku wakil waris supaya tanah ini boleh bertukar milik kepada pembeli.

Saya Berjaya menghubungi semula pembeli tersebut dan dia memberi tawaran untuk membayar baki hutang dan menambah 10% lagi saguhati.

Dalam perbincangan waris-waris, kami mendapati pembeli telah melanggar perjanjian jual beli tanah tersebut dan menyebabkan Allahyarham sebelum ini disusahkan dan kecewa setiap kali menuntut hutang. Kedua, kami juga menganggap Alahyarham sepatutnya telah membatalkan perjanjian tersebut setelah pembeli tidak mengikut jadual pembayaran di dalam perjanjian. Ketiga, harga jualan tanah ketika itu hanya ¼ dari harga pasaran dan nilainya sekarang 6 kali ganda dari nilai perjanjian (saya telah melantik penilai harta untuk menilai). Jika dikira, keuntungan pembeli berlipat kali ganda dengan mengambil hasil kelapa sawit dan mendapat tanah dengan nilai yang lebih mahal padahal tidak membayar keseluruhan nilai pembelian tanah pada tempoh yang ditetapkan adalah amat tidak adil.

Berdasarkan konteks dia atas, apa hukumnya dari segi syarak, kami membatalkan perjanjian jual beli tersebut disebabkan pelanggaran pembeli mematuhi perjanjian tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan penerangan pihak tuan, tanah tersebut hanya akan bertukar menjadi hak milik pembeli setelah pembayaran penuh dilakukan. Pembayaran pula dilakukan secara ansuran. Pada pengamatan kami, dalam tempoh pembayaran, pemilik tanah (bapa) meminjamkan tanah tersebut kepada pembeli untuk diusahakan. Sehingga tarikh tuan bertanyakan soalan, pembayaran penuh belum dilakukan dan pemilikan tanah telah berpindah menjadi hak milik waris (setelah difaraidkan). Oleh itu, waris dengan persetujuan bersama berhak membatalkan perjanjian tersebut sekiranya didapati pihak pembeli telah melanggar perjanjian. Perkara ini juga adalah tertakluk kepada syarat atau persetujuan bertulis yang terdapat dalam akad jual beli tersebut.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 174

message user image