BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalam Ustaz,

Saya ada satu soalan umum sekiranya jemaah Umrah yg berumur 10 tahun yg belum baligh melakukan kesilapan semasa Umrah adakah dikenakan Dam contoh ketika tawaf terbatal wudu dan meneruskan pusingan sehingga cukup 7 pusingan disebabkan jahil ilmu dan sudah bertahlul dan sekarang sudah berada di Malaysia jadi mcm mana cara utk membayar Dam sekiranya diwajibkan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tidak diwajib ke atas kanak kanak yang belum baligh menunaikan Umrah. Jika kanak kanak yang Mumayyiz (tahu membezakan antara kotor atau najis dengan yang suci atau bersih) tahu kerja kerja umrah dan membuatnya sendiri maka hukum umrahnya sah.

Merujuk kepada persoalan tuan, Isu yang dibangkitkan adalah berkenaan ibadah umrah anak tidak sempurna setelah pulang ke Malaysia, maka implikasi bagi hukum tersebut akan menyukarkan lebih-lebih lagi apabila melibatkan pembayaran dam dan kesesakan untuk kembali ke tanah haram semula bagi menyempurnakannya dan sebagainya. Berkenaan permasalahan ibadah haji dan umrah lampau, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 yang bersidang pada 28 November 2016 menyatakan:

  1. Amalan-amalan haji dan umrah masa lampau yang baru diragui kesahihannya, tidak memberi apa-apa kesan dari segi hukum jika dia yakin sah ketika melaksanakannya dahulu.
  2. Amalan-amalan haji dan umrah lampau yang diyakini tidak sah mengikut mazhab Syafi’i maka boleh bertaqlid kepada mazhab lain untuk mengesahkannya jika ada.

Berdasarkan resolusi yang telah dikeluarkan ini, maka perbuatan anak itu tidak dikenakan dam berdasarkan mazhab Hanafi yang tidak mewajibkan wudhu ketika melaksanakan tawaf. Hal ini adalah untuk mengangkat kemudaratan dan kerumitan yang akan berlaku ke atas sebahagian masyarakat Islam yang telah melakukan kesilapan dalam ibadat umrah kerana kejahilan (tidak tahu).

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 160

message user image