Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan yang dihormati,
Saya ingin bertanyakan soalan, adakah lantai rumah dikira najis sekiranya kita hanya membuang dan ambil najis tikus yang kering tersebut(tiada kepastian ianya kering atau tidak) dengan tisu kering tanpa mencuci lantai tersebut dengan air.
Kedua, sekiranya pakaian kita terjatuh dan kita juga mungkin memijak kaki kita ke permukaan lantai yang terkena bekas najis tikus tersebut(tanpa kita cuci permukaan lantai yg terlibat itu), adakah pakaian dan tapak kaki kita itu dikira terkena kotoran najis tikus tersebut.
Justeru itu, saya juga tidak yakin untuk mop permukaan lantai rumah yang terkena najis tersebut, kerana berasakan kotoran itu tidak bersih sepenuhnya,
Mohon pencerahan daripada Jabatan Pihak Mufti, Tuan/Puan,
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan:
1) Tindakan membuang najis tikus hanya dengan menggunakan tisu sahaja adalah tidak dianggap sebagai menyucikan najis dan ianya tidak sah. Oleh itu, lantai tersebut adalah kekal bernajis. Cara yang betul bagi menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis (najis tikus) tersebut dengan menggunakan tisu atau kain bersih sehingga hilang najis itu. Kemudian dialirkan/tuang air ke atas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi dan dikeringkan kawasan tersebut dengan menggunakan kain atau mop bersih yang lain sehingga tiada kesan bau dan warna. Setelah proses itu dilakukan, maka kawasan yang terkena najis telah bersih dan suci daripada najis.
2) Jika terdapat pakaian yang basah atau dalam keadaan tapak kaki yang basah memijak kawasan yang terkena najis tersebut, maka ini menjadikan baju yang basah dan tapak kaki yang basah tersebut sebagai mutannajis dan ia perlu dibersihkan dan disucikan terlebih dahulu seperti menyucikan najis pertengahan (mutawasitah).
3) Kaedah yang betul menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis (najis tikus) tersebut dengan menggunakan kain atau tisu bersih sehingga hilang najis itu. Kemudian dialirkan/tuang air ke atas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi. Selepas dari itu, lap air tersebut dengan menggunakan kain atau mop bersih yang lain. Lakukan perbuatan tersebut beberapa kali hingga yakin telah hilang kesan najis tersebut seperti bau dan warna.
Sekian, terima kasih.