Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya mengenai solat jamak. Saya jadi was-was apabila mndengar dua pendapatan dari orang. Saya duduk rumah sewa di kawasan Selangor, dan balik ke rumah orang tua di Pahang. Boleh kah saya solat jamak di rumah orang tua saya sebelum saya berangkat pulang ke Selangor bila dah masuk waktu solat dan tidak lebih dari 3 hari? Ada orang bagitahu saya tak boleh buat solat jamak di rumah orang tua saya disebabkan rumah di Pahang itu juga adalah rumah saya seumpanya itu rumah kedua saya (rumah tetap).
Jawapan
Syarat perjalanan yang diharuskan solat jamak adalah seperti berikut:
1. Jarak perjalanan cukup 2 marhalah = 81 KM atau lebih dan perjalanan itu sehala, bukan pergi - balik.
2. Perjalanan yang ada tujuan tertentu bukan perjalanan yang tidak tentu hala.
3. Bukan perjalanan untuk membuat maksiat.
Berdasarkan situasi yang dikemukakan, saudari hendaklah menentukan di mana tempat yang saudari ingin bermastautin. Jika saudari memilih untuk bermastautin di Selangor, maka saudari boleh solat jamak semasa berada di rumah orang tua di Pahang. Tetapi jika saudari hanya ingin bermukim sahaja di Selangor, maka saudari tidak boleh solat jamak di rumah orang tua kerana di situ masih dikira tempat tinggal asal saudari.
BERMUKIM: ialah orang yang tinggal di satu-satu tempat lebih daripada 3 hari. Dia tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ.
BERMASTAUTIN: ialah orang yang tinggal di satu-satu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain walaupun dia lahir di tempat lain.