Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Soalan saya apakah tanggungjawab isteri semasa menunaikan haji bersama suami?
Kebiasaannya bila berada diMekah dan Madinah suami dan isteri duduk bilik berlainan. Adakah salah jika isteri menguruskan diri sendiri bersama rakan2 sebilik semasa musim haji kerana dirasakan boleh lebih fokus dan yakin suami sihat dan boleh menguruskan diri sendiri? Selain lebih fokus ianya juga untuk elak dari pergaduhan dengan suami
Terima kasih
Jawapan
Sebagai pendahuluan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa setiap individu memiliki tanggungjawab tersendiri sama ada terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat begitu juga tanggungjawab terhadap Pencipta iaitu Allah SWT.
Merujuk kepada persoalan pertama yang diajukan, tanggungjawab isteri semasa menunaikan haji bersama suami adalah sebagaimana biasa seperti mentaati suami dalam hal kebaikan, memenuhi keperluan dan hak masing-masing kecuali larangan-larangan tertentu ketika berihram (misalnya melakukan perbuatan yang menimbulkan berahi seperti bercumbu atau melakukan persetubuhan), saling menghormati serta menjaga aib pasangan dan meminta izin suami.
Manakala bagi soalan kedua, tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk menguruskan dirinya sendiri ketika menunaikan haji terutama apabila duduk berasingan dengan suami. Walau bagaimanapun, apabila duduk berasingan, isteri perlu memelihara tanggungjawabnya sebagai seorang isteri sebaik mungkin sepertimana yang telah dijelaskan di atas.
Akhirnya, semoga ibadah haji yang akan dilaksanakan oleh tuan dan juga isteri beroleh haji yang mabrur di sisi Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan ibadah tersebut.