Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Tuan,
Saya ingin bertanya berkaitan situasi di bawah;
Seorang wanita telah bercerai talak 1 dan telah habis tempoh iddah. Semasa dalam perkahwinan, suami ada membelikan minyak masak, milo tin besar, dan beberapa makanan/barang lain yang tidak habis digunakan atau dimakan semasa tempoh perkahwinan & iddah.
Soalan:
1. Apakah hukumnya jika wanita tersebut makan minum/ menggunakan barangan seperti di atas SELEPAS TAMAT IDDAH? Cth; selepas tamat iddah, minum milo yg dibelikan semasa masih suami isteri.
2. Adakah bekas suami boleh mengambil semula barangan tersebut selepas tamat iddah? Atau perlukah barang-barang makanan/ masak tersebut dipulangkan?
T.kasih atas jawapan yang bakal diberikan.
Jzkk,
Zara
Jawapan
Berdasarkan soalan yang dikemukakan:
1. Tidak menjadi masalah kerana secara adatnya barangan tersebut dihalalkan dan diberikan untuk kegunaan ahli rumah tersebut.
2. Kaedah asasnya adalah sesuatu harta bebas digunakan oleh pemiliknya sama ada untuk mengambil semula atau disedekahkan. Barangan harian tersebut hendaklah dipastikan dahulu sama ada ia kategori harta sepencarian, milik suami atau milik isteri. Sekiranya ia adalah milik suami, maka bekas suami boleh mengambil semula barang miliknya sahaja, adapun barang milik isteri, anak-anak atau harta sepencarian hendaklah diuruskan mengikut kaedahnya. Oleh itu, sekiranya suami ingin menuntut kembali, dia berhak berbuat demikian.
Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada barangan tersebut yang berstatus nafkah dan ia merupakan milik isteri. Jika si suami mendiamkan diri, secara adatnya dia telah menghalalkan barangan tersebut untuk kegunaan ahli rumah berdasarkan kaedah fiqh (العادة محكمة) "Adat itu sendiri memberi hukum". Dinasihatkan agar puan berbincang dengan baik dengan pihak suami bagi menentukan perkara ini.