Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum dan tanggungjawab kita apabila mengetahui kawan baik kita sentiasa menderhakai kepada ibu nya.
Adakah berdosa jika kita berdiam diri dan tidak menasihati dia.
Mohon bantu memberi pencerahan. Amat lah saya hargai dan didahulukan dengan ucapan terimakasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, kita dituntut untuk tidak berdiam diri dalam perkara maksiat atau kemungkaran. Ini kerana, tugas berbuat baik dan mencegah kemungkaran adalah kewajipan setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW. Dengan sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah SWT berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Husyaim RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab. (Riwayat ِAbu Daud)
Sebagai kawan baik, saudara wajib menegur dan menasihatinya dengan baik. Tolak perasaan malu dan takut untuk menegur. Jika setelah dinasihati, dia masih berterusan melakukan perbuatan tersebut, tidaklah saudara berdosa kerana setiap orang Islam yang baligh, mumaiyiz, berakal, dan waras adalah dipertanggungjawabkan amalan baik dan buruk ke atas diri masing-masing. Siapa yang melakukan dosa, mereka tidak menanggung dosa orang lain, melainkan dosa dirinya sendiri, Sebagai mana firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 164:
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Di samping itu, saudara juga boleh mendoakannya semoga dia berubah dan diberi hidayah oleh Allah SWT. Selagi kita mendahulukan Allah dalam setiap urusan, Allah akan sentiasa melindungi kita walau diuji dengan pelbagai cara.
Sekian, terima kasih.