Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan soalan. Kisahnya, kawan saya merasakan tertekan dengan isterinya kerana sudah lebih 2 tahun dia ditolak oleh isterinya apabila dia mengajak untuk melakukan hubungan intim bersama dengan alasan isterinya penat. Apakah hukumnya ? Adakah isterinya ada hak menolak dengan alasan penat badan ? Apakah cara lain bagi suami ?
Jawapan
Dalam hukum fiqh suami berhak mengajak isterinya untuk melakukan hubungan intim pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada waktu isterinya ketika haid, nifas, sakit, keadaan zihar atau ketika ihram. Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suaminya tersebut. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak permintaan suaminya berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (yakni dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun daripada tidurnya pada waktu pagi. (Riwayat al-Bukhari)
Sehubungan itu, selagi tiada alasan-alasan yang boleh diterima syarak, isteri tidak boleh menggunakan apa-apa alasan mahupun helah untuk menolak ajakan suaminya. Lebih-lebih lagi kita faham bahawa persetubuhan suami isteri termasuk dalam tujuan perkahwinan serta menjaga keturunan yakni Hifz al-Nasal. Hubungan seksual termasuk dalam hak antara pasangan suami isteri dalam perkahwinan selain meraikan fitrah manusia dalam hubungan yang halal dan diredhai Allah.
Walau bagaimanapun dalam kehidupan serba moden ini, di mana para isteri telah ramai yang turut sama keluar bekerja di samping masih bertanggungjawab menjaga urusan rumah tangga, maka sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang dan bersyura bagi mencari kesefahaman dan kesepakatan dalam hubungan suami isteri untuk memelihara hak kedua-dua pasangan. Sekiranya sukar untuk berbincang secara empat mata, maka boleh juga menggunakan pihak ketiga yang tiada berkepentingan kepada kedua-dua pihak sebagai orang tengah bagi membantu memandu perbincangan yang dilaksanakan itu nanti.