BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. Sekitar tahun 2020, saya mengenali seorang hamba Allah ini. Jauh di sudut hati saya merasakan orang ini adalah yang terbaik untuk saya dan dia mempunyai ciri-ciri yang saya suka. Kami mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti minat pada hal-hal yang berkait dengan pendidikan, hobi dan nilai murni. Sekitar tahun 2022, kami mula ‘dating’ dan dia ada meletakkan hasrat untuk bernikah dengan saya pada masa akan datang. Selama setahun kami bersama, terdapat banyak cabaran kami berdua hadapi. Pertama sekali, kami berdua merupakan pelajar universiti dan masing-masing belajar di institusi berlainan. Kami tidak ada peluang untuk berjumpa atas sebab-sebab tertentu seperti masalah kewangan, pengangkutan dan hal peribadi masing-masing. Kedua, perkara-perkara dalam kehidupan masing-masing menghalang kami, terutamanya dia, untuk berbincang berkenaan masalah yang timbul sehingga susah untuk mencari masa untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Baru-baru ini, hamba Allah tersebut pun putus dengan saya atas sebab dia merasakan dia belum bersedia untuk menjalankan hubungan dan tidak mahu meneruskan hubungan yang tidak diketahui masa depannya. Dia juga telah menyatakan dia tidak mahu meletakkan harapan palsu pada saya. Menurut rakan-rakan yang lain, dia bukan yang terbaik dan hanya memberi alasan yang tidak bermuhasabah untuk meninggalkan saya. Meskipun begitu, Allah mengetahui segala yang tersembunyi. Dan saya merasakan apa dia mengatakan adalah betul. Walaupun itu adalah yang terbaik kerana kita dapat menjauhkan diri daripada zina dan sakit yang akan datang, malah kekecewaan dan kegelisahan ini sedang melanda minda saya. Dia telah meletakkan hasrat untuk bernikah tetapi kami telah putus, adakah ini dia bukan jodoh saya? Tambahan pula, saya ada beberapa soalan:

 

  1. Saya sering solat istikharah agar diberi petunjuk sama ada orang ini yang terbaik untuk saya atau bukan. Adakah wajar niat saya seperti begini? Apakah cara percakapan yang betul sewaktu berdoa istikharah?
  2. Saya seringkali berdoa agar didekatkan dengan orang ini jika yang terbaik untuk saya. Bagaimana Allah berikan petunjuk selepas kita beristikharah?
  3. Memandangkan kami berdua masih lagi pelajar universiti, kami masih lagi ada masa. Adakah tindakan saya untuk berdoa agar dia jodoh saya wajar? Adakah dia orang yang patut saya tunggu?
  4. Dan akhir sekali, saya cuba berusaha untuk memperbaiki diri dan berkomunikasi dengan orang tersebut memandangkan dia masih lagi mahu dihubungi. Walaupun itu bukan satu perkara yang besar, adakah itu dikira sebagai satu usaha dan adakah Allah terima usaha tersebut?

 

Akhirul kalam, saya di sini cuba memperbaiki diri dan lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT. Saya sedang sedaya upaya mencari ilmu berkaitan hal-hal agama dan mengubati kekecewaan ini dengan zikir dan Al-Quran. Saya sentiasa berdoa dan berserah segala-galanya pada Allah SWT dan sentiasa cuba untuk berusaha walaupun kadangkala buntu. Saya berharap persoalan-persoalan tersebut tidak menjadi satu perkara yang mengundang pada yang tidak baik dan hanyalah sekadar permohonan untuk pencerahan dan motivasi. Terima kasih dan Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan cik/puan; istikharah merupakan satu cara untuk memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi oleh seseorang manusia. Solat istikharah, ia merupakan antara sunah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada ummatnya

1. Dalam hal ini, tidak menjadi masalah untuk seseorang meminta petunjuk Allah SWT melalui istikharah apabila menduga seseorang lelaki atau wanita lain baik akhlaknya secara zahir untuk dijadikan pasangan hidup. Cara berdoa istikharah yang terbaik adalah dengan mengikut aturan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW daripada riwayat Jabir bin Abdillah RA iaitu menyerahkan sesuatu persoalan hidup tentang baik dan buruknya sesuatu perkara kepada Allah SWT setelah berikhtiar sebagaimana katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا، كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ، يَقُولُ: " إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ، ثُمَّ لِيَقُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي - أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ - فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي - أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ - فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ، ثُمَّ أَرْضِنِي " قَالَ: وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ

Maksudnya: Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda: Sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: Sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda: Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya. (Riwayat al-Bukhari)

2. Para ulama’ menyatakan bahawa antara petunjuk yang diberikan Allah SWT kepada orang yang melaksanakan istikharah adalah dilapangkan dadanya dalam membuat keputusan. Jika masih merasa ragu, lakukan istikharah sekali lagi sehingga lapang dada. Jika boleh menunda, maka boleh ditunda. Jika tidak boleh ditunda, maka boleh meneruskan sesuatu yang mudah baginya.

3. Tiada masalah untuk menyebut seseorang yang layak menjadi jodoh dalam doa istikharah. Namun, perkara yang lebih utama yang perlu difahami ialah kita manusia yang lemah yang tidak mampu memastikan satu kebaikan dan keburukan dalam hidup, maka kita minta pertolongan dan petunjuk daripada ilmu pengetahuan Allah SWT dalam menentukan apa yang terbaik bagi agama dan kehidupan kita. Ditakuti daripada doa sedemikian sebagai hamba, telah lari maksud sebenar daripada doa istikharah. Bentuk kepasrahan dan kelapangan hati ini yang ditekan dalam doa istikharah kerana terkadang sesuatu perkara yang dilihat baik secara akal boleh jadi buruk bagi agama dan kehidupan seseorang.

4. Sekecil-kecil usaha untuk mencari pasangan halal dengan cara yang menepati syarak pasti diberikan pahala oleh Allah SWT. Hindari komunikasi yang tidak perlu sesama bukan mahram melainkan terdapat keperluan. Masa yang Allah berikan kepada cik puan hendaklah disibukkan dengan perkara yang bermanfaat, teruskan mencari ilmu, mengenal diri, memperbaiki diri, hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

Yakinilah bahawa setiap pengakhiran atau perkara yang tidak kita inginkan berlaku sudah pasti kerana Allah yang Maha tahu telah mengaturkan sesuatu yang sesuai dengan keperluan dan kemaslahatan bagi kehidupan kita dan Allah menyimpan sesuatu yang lebih baik bagi kehidupan kita ke hadapannya.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 163

message user image