Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum jabatan mufti selangor, saya ada bagi kucing saya makan hill wet food untuk rawatan batu karang. Saya tahu yang makanan tersebut mengandungi daging khinzir. Tangan saya ada terkena makanan tersebut. Masalah utamanya kawasan saya tak ada tanah, jadi saya cuma basuh tangan dengan sabun biasa untuk sementara waktu. Saya tahu yang tangan saya perlu di sertu dengan air berisi tanah untuk bersih sepenuhnya dari najis mughallazah. Soalan saya adakah najis mughallazah berpindah walaupun saya sudah basuh tangan saya dengan sabun sehingga tiada lagi ain najis di tangan saya? Bagaimana dengan kawasan rumah dan pakaian saya yang saya sentuh selepas saya cuci tangan dengan air sabun, adakah ia berpindah dan perlu samak seluruh rumah dan pakaian? Mohon penjelasan dari pihak mufti.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya benar dan telah dipastikan dengan melihat kepada kandungannya (ingredient) bahawa dalam makanan kucing tersebut mengandungi babi, jika tangan pernah menyentuhnya dalam keadaan lembap atau basah, maka cara menyucikan atau membasuh tangan yang menyentuhnya itu adalah dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah.
Oleh itu, tangan yang terkena makanan yang mengandungi babi itu telah bernajis dan perlu disucikan dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya dengan tanah. Tidak dianggap suci sekiranya tangan tersebut hanya sekadar dibasuh dengan menggunakan sabun sahaja. Ini kerana tidak mengikut kaedah yang sebenarnya dalam menyucikan najis mughallazah dan ia menjadi najis hukmi yakni najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa.
Menurut mazhab Syafi'i, najis hukmi boleh berpindah dalam keadaan basah. Oleh itu, apabila tangan tersebut bersentuhan mana-mana tempat atau pakaian, maka yang disentuh akan menjadi mutanajjis atau terkena najis. Ini kerana bersentuhan dengan najis hukmi boleh memindahkan najis ke tempat yang lain. Ianya perlu disucikan dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah.
Bagi kes tuan, apa yang telah berlaku sebelum ini, kaedah yang tuan telah lakukan adalah memadai dan dianggap suci bagi pandangan Mazhab Hanafi. Oleh itu, tiada berlaku perpindahan najis kepada bahagian-bahagian lain.
Walau bagaimanapun, untuk masa hadapan, adalah disarankan kepada pihak tuan untuk menggunakan sabun taharah atau sabun tanah liat yang telah diputuskan boleh digunakan untuk menyertu. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat.
Muzakarah telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.
Syabas kami ucapkan kepada tuan yang perihatin terhadap kesucian yang amat dititik berat di dalam Islam. Gunakanlah sabut taharah dalam salah satu daripada 7 kali basuhan ketika melakukan sertu.
Sekian, terima kasih.