Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada sedikit kemusykilan di sini tentang perkahwinan saya.
Saya baru 2 tahun berkerja dalam perkhidmatan awam, tapi terpaksa pjj kerana jarak jauh untuk saya berulang balik rumah, suami saya sebenarnya tidak mengizinkan saya berkerja, tapi saya tetap ingin berkerja sebabnya adalah suami saya menganiaya saya sebelum ni, dia pernah memukul saya sampai lebam- lebam, mengeluarkan kata kesat & sebagainya, saya sabar menahan perangai nya kerana anak masih lagi kecil,
Tapi bila saya diterima berkerja di perkhidmatan awam memang saya tidak menolak, itu peluang saya untuk memiliki duit sendiri & saya tidak terbelenggu dengan sikap suami saya yang sememangnya sangat baran, silap sikit je habis kena maki hamun, tidak kira isteri atau anak.
Persoalannya di sini yang saya ingin ajukan berdasarkan cerita tadi, dia langsung tidak memberi saya nafkah selama saya berkerja kerana katanya saya nusyuz kerana tetap berkerja walaupun dia tidak izinkan, adakah betul tindakannya? Saya berkerja kerana alasan tersebut di atas penganiayaannya, tetapi bila balik setiap minggu saya tetap buat kerja rumah yang ditinggalkan kerja selama 1minggu, banyak kerja rumah, kemudian saya juga melayani dia diranjang adakah tetap nusyuz begitu?
& bukan kah nusyuz boleh disabitkan jika ada perintah mahkamah? & bukan suka hati tentukan nusyuz?
Jadi itulah persoalan saya adakah berdosa suami saya tidak memberi nafkah, & adakah saya berdosa kerana berkerja tanpa izin suami tapi bersebab, untuk maklumam saya pernah membuat repot polis & medikal.checkup selepas dia memukul saya untuk rujukan mahkamah syariah, tapi saya tidak meneruskan untuk.fail cerai memandangkan anak masih kecil, cuma sekarang saya ingin tau saya & suami saya berdosa atau tidak dia atas perbuatan tersebut, saya sangat keliru.
Jawapan
Menurut Dr Muhammad Zuhaili, nusyuz bermaksud derhaka. Nusyuz seorang perempuan ialah apabila dia derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Selain itu, nusyuz bagi suami ke atas isterinya adalah meninggalkan tanggungjawabnya serta menyakiti pasangannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 128:
Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya)
Pada asasnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada isteri untuk mentaati suami, melainkan di dalam perkara yang bercanggah atau menyalahi perintah Allah SWT. Begitu juga suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak serta melayan mereka dengan sebaiknya sebagaimana yang ditetapkan mengikut syarak. Mengikut hukum syarak, hak isteri untuk mendapat nafkah adalah tergugur dengan sebab berlaku nusyuz terhadap suami. Secara undang-undang, hanya mahkamah yang boleh isytiharkan seorang isteri sebagai nusyuz sehingga menyebabkan suami tidak wajib lagi memberi nafkah. Selagi mana tiada pengisiytiharan daripada pihak mahkamah, suami wajib memberikan nafkahnya.
Merujuk kepada permasalahan puan, kami menasihatkan agar puan merujuk kepada pihak berautoriti seperti pihak Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah terdekat bagi mendapatkan nasihat dan bantuan yang sewajarnya kerana situasi seperti ini memerlukan kepada penjelasan kedua-dua belah pihak. Situasi ini memerlukan bantuan daripada pihak yang ketiga bagi menasihati pihak suami sepertimana yang dianjurkan oleh syarak.