BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Soalan saya adalah adakah dibenarkan jika kita meminta seseorang untuk bersedekah bagi pihak kita? Sebagai contoh, seorang individu meminta saya untuk memilih sesuatu sebagai habuan atau hadiah. Tapi saya tak nak apa apa, cukup dengan individu itu bersedekah seikhlas hatinya kepada sesiapa pun bagi pihak saya. Tujuan saya supaya semoga sedekah itu bermanfaat dan ada pahala buat saya dan individu itu. Adakah cara itu dibenarkan? Atau salah cara dan niat saya? Jawapan Tuan/Puan saya dahulukan dengan ribuan ucapan terima kasih. Semoga Allah membalas kebaikan Tuan/Puan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Disunatkan menerima pemberian hadiah kerana ia menzahirkan kasih sayang sesama manusia. Perbuatan menolak pemberian hadiah daripada orang lain adalah menyalahi sunah Nabi Muhammad SAW berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Umar RA:

سَمِعْتُ ‌عُمَرَ يَقُولُ: كَانَ ‌رَسُولُ ‌اللهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌يُعْطِينِي ‌الْعَطَاءَ، فَأَقُولُ: أَعْطِهِ مَنْ هُوَ أَفْقَرُ إِلَيْهِ مِنِّي. فَقَالَ: خُذْهُ، إِذَا جَاءَكَ مِنْ هَذَا الْمَالِ شَيْءٌ، وَأَنْتَ غَيْرُ مُشْرِفٍ وَلَا سَائِلٍ، فَخُذْهُ، وَمَا لَا، فَلَا تُتْبِعْهُ نَفْسَكَ

Maksudnya: Aku telah mendengar Umar berkata: Rasulullah SAW telah memberiku sebuah hadiah, lalu aku berkata: Berilah kepada orang yang lebih fakir dariku, maka Baginda berkata: Ambillah apabila datang kepadamu sesuatu dari harta, sedangkan engkau tidak tamak dan tidak pula memintanya, maka ambillah, dan jika engkau tidak diberi, maka janganlah engkau mengikut kehendak nafsumu (iaitu meminta-minta). (Riwayat al-Bukhari)

Dikhuatiri menolak pemberian hadiah tersebut boleh menyebab rasa kecil hati orang yang ingin memberi. Terdapat juga hadis yang melarang daripada menolak pemberian orang lain sebagaimana daripada Khalid bin 'Adi RA yang melarang daripada menolak pemberian orang bahawa 

مَنْ جَاءَهُ مِنْ أَخِيهِ مَعْرُوفٌ، مِنْ غَيْرِ إِشْرَافٍ وَلَا مَسْأَلَةٍ، فَلْيَقْبَلْهُ وَلَا يَرُدَّهُ، فَإِنَّمَا هُوَ رِزْقٌ سَاقَهُ اللهُ إِلَيْهِ

Maksudnya: Siapa sahaja diberi sesuatu oleh saudaranya tanpa dia meminta mahupun mengharapkan maka hendaklah dia menerimanya. Kerana sesungguhnya itu adalah rezeki yang Allah datangkan untuknya. (Riwayat Ahmad)

Namun begitu, seseorang dituntut menolak pemberian jika ia berupa sesuatu perkara yang ditegah seperti barang-barang yang mempunyai unsur haram, rasuah, mendatangkan fitnah atau seumpama dengannya. Di samping itu juga, perbuatan tidak menerima hadiah kerana ingin diniatkan pemberian tersebut diberikan kepada fakir miskin adalah diharuskan sekiranya perkara tersebut tidak menyebabkan si pemberi merasa kecil hati. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 178

message user image