Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Buat kutipan bubur lambuk bulan puasa,Sebanyak Rm50k tetapi di gunakan hanya Rm20k sahaja selebihnya di masukkan ke tabung Masjid/Surau boleh ke walau pun borang kutipan ada tulis wang lebih akan di masukkan ke tabung Masjid/Surau
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Allah SWT memerintahkan agar berlaku ihsan dan berbuat baik sesama manusia. Termasuk dalam perbuatan yang baik itu adalah dengan memberi sedekah dan menginfakkan harta di sisi Allah SWT. Infak bererti membelanjakan harta secara sukarela kepada yang berhajat malah ia merupakan bentuk-bentuk kesempurnaan dalam agama. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat ke- 92:
Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
Maka merujuk kepada persoalan, kutipan yang telah diadakan bagi pihak masjid adalah diharuskan kerana terdapat pemaklumkan daripada pihak masjid bahawa lebihan kutipan akan disalurkan ke dalam tabung masjid untuk kegunaan maslahat awam. Justeru itu, perlu difahami bahawa lebihan kutipan itu telah bertukar status menjadi infak secara umum bahkan penggunaannya dibenarkan untuk apa tujuan yang melibatkan pengimarahan masjid dan kegunaan orang ramai.