Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Soalan berkaitan dengan wuduk. Wajib meratakan air ke anggota wuduk. Soalan saya, bagaimana jika terdapat kesan cat pada rongga kulit bagi seorang yang bekerja sebagai tukang cat cabinet? Tidak dapat dirasakan kesan timbul cat pada kulit tapi dari mata kasar, kita boleh melihatnya ada kesan warna pada kulit. Sudah cuba untuk hilangkan menggunakan thinner tapi masih sukar hilang dan ambil masa beberapa hari untuk hilang. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, antara syarat sah wuduk adalah menghilangkan sesuatu yang menghalang air dari terkena anggota wuduk seperti cat, lilin, lemak dan sebagainya. Maka wajib menghilangkan terlebih dahulu cat yang menghalang air sampai ke anggota wuduk. Walau bagaimanapun, jika cat itu sukar untuk ditanggalkan, dihilangkan, meresap ke dalam kulit dan boleh mendatangkan kemudharatan untuk dihilangkan, maka ia dimaafkan dan wuduk tersebut sah.