BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya nak bertanya berkaitan Wuduk. Apakah syarat dan bagaimana caranya jika ingin berwuduk tanpa buka stokin atau kasut? Apakah syaratnya mengikut imam syafie. Saya bekerja sebagai tukang spray cabinet di Australia. Sukar untuk berwuduk tanpa kasut atau stokin memandangkan keadaan sekitar yang tidak bersih dan tidak mempunyai tempat wuduk yang khusus. Sehingga bilakah wuduk kita boleh bertahan jika kita berwuduk dengan kasut atau stokin? Adakah sehingga ada tempat wuduk yang khusus atau sehingga kita melalukan perkara yang membatalkan wuduk? Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berwuduk dengan memakai kasut tidak dibolehkan. Adapun berwuduk dengan memakai stokin kulit atau khuf, ia merupakan rukhsah atau keringanan. Saidina Jarir bin Abdullah RA menyatakan bahawa;

رأيت النبي صلى الله عليه وسلم بال، ثم توضأ ومسح على خفيه

Maksudnya: Aku melihat Nabi SAW pergi membuang air kecil, lalu baginda berwuduk dengan hanya menyapu di atas khufnya.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut mazhab Syafi'i, keharusan menyapu stokin kulit / khuf ketika berwuduk hendaklah memenuhi syarat berikut:

  1. Memakai kedua-dua stokin tebal ketika berada dalam keadaan berwuduk.
  2. Stokin hendaklah menutup hingga ke buku lali (keseluruhan kaki yang wajib dibasuh ketika wuduk).
  3. Stokin diperbuat dengan kulit sehingga tidak boleh ditembusi air (melainkan di celah jahitan).
  4. Stokin yang tidak mudah koyak apabila berjalan dengan menggunakannya.
  5. Stokin diperbuat daripada bahan yang suci.

Stokin kain sekiranya memenuhi syarat di atas boleh dihukumkan sebagai khuf.

Cara berwuduk dengan menggunakan khuf adalah dengan menyapu air di bahagian atas khuf dan sunat menyapu di bahagian atas dan bawah secara serentak. Tempoh kebenaran menyapu khuf adalah sehari semalam bagi orang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang bermusafir. Bermula kiraan tempoh tersebut adalah dengan hadas yang pertama selepas memakai khuf.

والله أعلم بالصواب

 

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 639

message user image