Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, S.S mufti , pertanyaan saya ialah apakah hukum berkaitan pelaksanaan konsert di Malaysia? Contohnya hukum daripada segi pihak penganjur dan hukum menghadiri konsert itu sendiri? Adakah hukumnya sama dengan hukum muzik dan nyanyian dalam Islam? dan adakah wajar sesuatu konsert itu diharamkan pelaksanaannya di Malaysia? Mohon pencerahan daripada S.S Mufti . Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Pelaksanaan konsert atau mana-mana program keraian mestilah mematuhi ketetapan syarak. Antara ketetapan yang mesti dipatuhi adalah seperti tidak berlaku pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang dilarang, tidak dihidangkan dengan minuman keras, tidak mengandungi muzik yang melalaikan seperti lirik yang menjurus kepada perkara maksiat dan lain-lain. Konsert tidak wajar diharamkan secara mutlak, namun pelaksanaan konsert tersebut mestilah mematuhi hukum hakam yang ditetapkan oleh syarak serta garis panduan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Hukum asal menganjurkan atau menghadiri sesuatu majlis adalah harus. Sesuatu majlis termasuk konsert boleh menjadi haram jika mengandungi perkara-perkara yang dilarang oleh syarak seperti yang disebutkan di atas. Oleh itu, seorang Muslim hendaklah menilai terlebih dahulu kandungan sesuatu majlis tersebut sebelum menghadirinya.
والله أعلم بالصواب