BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: As-salamu`alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Apakah dibenarkan untuk memanggil seseorang yang mempunyai bapa kandung dengan nama selain dari bapa kandung mereka? Contohnya, memanggil si mati yang baru dikebumikan dengan bin/binti ibunya dalam amalan ‘talqin’. Jika ada, di dalam kes apakah seseorang harus dipanggil dengan nama ibu kandung mereka? Adakah ayat di bawah khusus untuk anak angkat, atau relevan untuk semua? ٱدۡعُوهُمۡ لِءَابَآئِهِمۡ هُوَ أَقۡسَطُ عِندَ ٱللَّهِ Panggillah mereka dengan nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah (Al-Ahzab 33:5). Mohon kemukakan hujah para ulama (beserta sumbernya) dalam jawapan yang diberikan


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, seseorang anak itu dinasabkan kepada ibu bapa kandungnya. Tidak menjadi kesalahan untuk memanggil seseorang itu dengan panggilan kepada bapanya atau ibunya. Sedangkan maksud surah al-Ahzab ayat 5 yang dinyatakan adalah merujuk kepada larangan untuk memanggil seseorang anak angkat dengan nama bapa angkatnya, tetapi panggillah mereka dengan panggilan kepada bapa kandung mereka. Di dalam al-Quran ada kisah Nabi Isa a.s yang mana baginda dipanggil dengan nama ibu kandungnya : “عيس ابن مريم”, sebagaimana Allah SWT berfirman: Maksudnya : “(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). (Ali-‘Imran : 45) Adapun, dalam amalan bacaan talqin, nama si mati kebiasaannya dipanggil dengan disandarkan kepada nama ibunya berdasarkan riwayat daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika ada di antara kalian yang meninggal dunia, kemudian kuburannya diratakan dengan tanah, maka hendaknya ada di antara kalian yang berdiri dekat kepalanya dan berkata : “Ya fulan bin fulanah”. Sesungguhnya dia mendengar tetapi tidak boleh menjawab. Kemudian katakan lagi : “Ya fulan bin fulanah”. Kemudian dia akan duduk. Selepas itu panggillah lagi kali ketiga : “Ya fulan bin fulanah”. Maka dia akan menjawab : “Tunjukkanlah kami, semoga kamu mendapat rahmat Allah”. Tetapi kamu tidak dapat mendengarnya”. Maka malaikat Munkar dan Nakir akan terlambat menjalankan tugasnya (menyoal orang yang mati). Malaikat yang satu berkata kepada yang lain : “Pergilah, kita tidak perlu lagi duduk di sini kerana dia (orang yang mati) sudah diajar (ditalkinkan). Maka Allah menjadi saksi bagi mereka berdua. Sorang sahabat bertanya kepada Nabi SAW : “Bagaimana seandainya nama ibunya tidak kenal?”. Rasulullah SAW menjawab : “Nasabkan dia kepada Hawa”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 186

message user image