Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , maaf ganggu. Saya tertanya mengenai apakah hukum menerima hadiah dari hasil benda yang haram. Contohnya macam ni, " A bermain Forex yang diketahui hukumnya haram . Jadi hasil keuntungan Forex iaitu duit yang digunakan A ni dia gunakan untuk bagi gift dekat Tiktok yang boleh bagi gift kepada sesiapa pengguna yang buat live contohnya. So, Si A ni dia bagi gift guna duit forex ni melalui coins kepada pengguna tiktok yang buat live. Tapi, pengguna tiktok ni dia tak tau yang dia dapat tu hasil duit forex si A ni. So, soalannya adakah halal pengguna tiktok ni yang dapat gift ni dia exchange gift tu kepada duit dan gunakan duit itu dalam kehidupan seharian. Maaf kalau soalan ni agak mengelirukan . Terima kasih En
Jawapan
Secara asasnya, harta yang diterima daripada sumber yang diharamkan oleh syarak seperti transaksi berasaskan riba, perjudian, mencuri adalah tidak dibenarkan kerana ia dianggap hasil yang haram. Dalam urusan muamalat, setiap harta atau barang yang diterima perlu jelas tentang penerimaan tersebut atas dasar apa. Jika ia menerima wang hasil jualan arak, judi atau riba melalui transaksi yang dilakukannya sendiri, ia jelas haram. Namun, jika ia menerima wang atau urusan jual beli, menerima hadiah atau sedekah dan tidak terlibat langsung perkara yang haram ia adalah dibenarkan.
Berdasarkan kepada huraian tuan, pengguna tiktok tersebut tidak mengetahui hasil apa yang digunakan oleh orang yang memberi gift melalui coins semasa membuat live di tiktok. Dia hanya menerima wang hasil usahanya membuat live di tiktok. Jadi, pengguna tiktok tersebut tidak terlibat secara langsung sekiranya ada dalam kalangan orang yang memberi gift menggunakan wang dari hasil yang haram.
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 164:
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;
Tafsir al-Tabari menjelaskan ayat ini bahawa seseorang tidak menanggung dosa orang lain yang melakukan perkara yang diharamkan oleh syarak.
Oleh itu, tiada masalah sekiranya pengguna tiktok tersebut menerima wang atau hadiah tersebut dan boleh digunakan untuk kehidupannya seharian.