BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum.. 

Saya ingin bertanya soalan berkaitan perkara viral di mana Ustaz Azhar Idrus telah mengulas satu isu berkaitan seorang usahawan/peniaga yang mengenakan syarat untuk membeli produk vendor supaya membolehkan pelanggan membeli produk makanan beliau. Ustaz Azhar Idrus menjelaskan urusan jual beli tersebut tidak sah sekiranya ada unsur paksaan. 

Sekiranya.. Pelanggan terpaksa membeli produk vendor yang sebenarnya bukan keinginan atau kehendak cuma untuk memenuhi syarat pembelian supaya dapat membeli produk usahawan tersebut apakah hukum & adakah urusan jual beli tersebut sah walau ada unsur paksaan secara halus iatu mengenakan syarat pembelian produk vendor terlebih dahulu. Saya berpendapat ia cuma salah satu cara marketing untuk melariskan produk yang di jual di kedai tersebut dengan mengenakan syarat sebegitu. Saya harap pihak mufti dapat mengurai kemusykilan saya. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan; secara asasnya jual beli mempunyai rukun dan syaratnya tersendiri supaya jual beli tersebut tidak mempunyai unsur ketidakadilan, penipuan dan perkara merugikan kepada salah satu pihak sama ada pembeli atau penjual. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Berkenaan persoalan puan tentang perniagaan yang mempunyai unsur paksaan kepada pelanggan secara asasnya perkara ini boleh membatalkan akad dan menjejaskan syarat keredaan dalam jual beli. Namun, unsur paksaan ini perlulah diperhalusi dari pelbagai sudut. Paksaan dalam jual beli boleh berlaku dalam beberapa keadaan terutama sekali sesuatu perniagaan yang berlaku dengan ugutan, ancaman yang melibatkan keselamatan dan nyawa dan pembeli tidak mempunyai pilihan atas pembelian tersebut.

Sebaliknya, unsur paksaan ini tidak terjadi sekiranya sesuatu perniagaan telah menawarkan secara jelas maklumat barang, harganya dan syarat penjualan kombo yang tidak bertentangan dengan syarak tersebut kepada pelanggan dan pelanggan bersetuju dengan syarat tersebut. Dalam keadaan ini, pelanggan masih mempunyai pilihan atas pembelian tersebut sekiranya tidak bersetuju pelanggan boleh membeli kepada pihak lain yang menjualkan produk yang sama. Hal ini termasuk dalam salah satu teknik perniagaan yang dibenarkan selagi makna tiada unsur paksaan, penipuan dan kesamaran yang tersembunyi bagi pihak penjual kepada pembeli.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 85

message user image